Agrobank mengumumkan pelan bantuan banjir bagi pelanggan-pelanggan yang terkesan berikutan bencana banjir yang melanda negara menerusi pelan penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam bulan, khusus untuk pelanggan-pelanggannya yang layak.
Pelan ini ditawarkan kepada pelanggan Agrobank yang terjejas akibat banjir di Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain di seluruh negara.
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pelan Bantuan Banjir Agrobank diharapkan dapat mengurangkan bebanan serta membantu para pelanggan yang terjejas dalam tempoh yang mencabar ini.
โBerdasarkan pengumuman daripada Bank Negara baru-baru ini, Agrobank juga akan menyediakan bantuan pembiayaan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan dengan banjir menerusi Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022) berjumlah RM200 juta di mana pembiayaan ini juga akan turut dikongsi bersama bank komersial, Islam serta institusi kewangan pembangunan lain,โ katanya.
Tambah Khadijah, pihaknya sedar bahawa sesetengah pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memulihkan semula perniagaan.
โJusteru, bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan bagi membina semula perniagaan masing-masing. Kami di Agrobank juga akan turut menghubungi para pelanggan kami bagi membantu mereka menghadapi situasi ini,โ jelasnya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 dan e-mel ke customer@agrobank.com.my atau layari www.agrobank.com.my.
-NIAGATIMES