ASPIRASI SITI MARIAM RINTIS FAITH FLEUR

Berbicara tentang bisnes, tidak semua usahawan punya layar penceritaan yang indah. Ada yang terpaksa berhempas pulas sebelum benar-benar komited, ada yang tewas di pertengahan, malah tidak kurang pula ada yang terlibat atas faktor desakan hidup. Bagi Siti Mariam Abd Samad, dia mengakui pada awalnya bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang digemarinya. Pandangannya terhadap bisnes cukup skeptikal. Namun, wanita berusia 29 tahun ini terpaksa menolak hakikat tersebut apabila dia berdepan beberapa detik paling mencabar dalam kehidupannya.

Sebaik sahaja mendirikan rumah tangga, Siti Mariam dan suaminya, Muhamad Abdul Halim Bahadorisam, 29, cuba untuk hidup secara selesa sepertimana pasangan suami isteri yang lain. Meskipun tidak boros, faktor lambakan hutang yang dicetuskan mereka atas ‘tiket’ pembelian barang kelengkapan dan keperluan rumah akhirnya memakan diri.

Tanpa disedari, kesemua hutang tersebut telah mencecah lebih RM100,000. Hutang perabot, kereta, pinjaman peribadi, malah tunggakan bayaran balik yuran pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang belum dijelaskannya tiba-tiba sahaja menghantuinya secara serentak.

Siti Mariam seolah-olah hilang arah. Usahanya untuk membayar semula hutang-hutang tersebut menemui jalan buntu apabila gajinya sebagai jururawat cuma sekadar cukup makan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Malah, suaminya yang turut membantu juga tidak berupaya meringankan beban tersebut kerana hanya berpendapatan rendah makan gaji sebagai peniaga pasar malam.

Dia sedar bahawa keadaan rumit tersebut tidak boleh dibiarkan melarat dan menjadi lebih parah. Siti Mariam akhirnya nekad membuat keputusan terbesar dalam hidupnya apabila terpaksa melepaskan kerjaya sebagai jururawat meskipun bidang tersebut amat diminatinya. Pada waktu itulah kemudian bermulanya titik tolak kebangkitan Siti Mariam apabila mula bertukar haluan ke bidang perniagaan.

Teroka dunia perniagaan

Dengan hanya bermodalkan RM200, Siti Mariam pada masa itu mengatur jejak untuk berjinak-jinak memulakan bisnes. Dirinya yang serba naif, malah tidak begitu mahir dengan selok belok dunia perniagaan ketika itu sekadar menjana pendapatan sebagai pengedar kepada sebuah produk jenama tempatan. Setelah mendapat rentak, dia lantas membulatkan tekad perancangan untuk memulakan bisnes peribadi dengan produk sendiri.

Walaupun tiada pengalaman sewaktu pembabitan awal ketika memulakan perniagaan, Siti Mariam tidak gentar untuk belajar membina keyakinan diri

“Pelbagai ujian yang saya alami bersama-sama suami selepas berkahwin benar-benar memberi tekanan kepada saya. Bebanan hutang yang menimbun telah mendesak saya untuk terlibat dengan bisnes kerana saya dapati hanya itulah satu-satunya platform mudah untuk saya dapatkan duit.

“Saya berbisnes tanpa membuat sebarang pinjaman bank. Duit modal RM200 yang saya dapat itulah yang saya manfaatkan sebaik-baiknya. Saya uruskan perniagaan secara sendiri pada peringkat awal tanpa sebarang campur tangan daripada suami. Sedikit demi sedikit, pulangan yang saya dapat daripada jumlah modal tersebut semakin bertambah, berganda. Syukur, dalam tempoh setahun sahaja saya berjaya melangsaikan kesemua hutang-hutang saya. Dari itu saya sedar bahawa sememangnya perniagaan boleh mengubah nasib dan kehidupan saya,” jelas anak kelahiran Kuantan, Pahang itu.

Tanggal 10 Februari 2017 menjadi detik yang paling istimewa buat Siti Mariam apabila syarikat yang diusahakannya, Ctymary Resources Sdn Bhd akhirnya ditubuhkan secara rasmi. Berdiri megah atas jenama produk penjagaan rambut, Faith Fleur, yang bermaksud ‘kesetiaan’ dan ‘bunga’ dalam bahasa Perancis, Siti Mariam layak berbangga dengan kejayaannya menaikkan syarikat sehingga produk-produk jualannya laris dan diterima baik masyarakat sehingga kini.

Bantu golongan lain jana pendapatan

Perniagaan yang diusahakan Siti Mariam mencapai kemajuan yang sangat luar biasa. Usaha kerasnya membangunkan syarikat meskipun berjaya meraih jutaan ringgit saban tahun, sedikit pun tidak membuatkannya angkuh atau lupa diri. Dia tetap berpijak di bumi yang nyata tanpa melupakan detik-detik sukarnya sewaktu mula-mula berbisnes.

Menurutnya, kesulitan hidup golongan yang kurang berkemampuan terutamanya para suri rumah amat difahaminya memandangkan dirinya pernah berada dalam situasi yang sama. Justeru itu, timbul perasaan berkobar-kobar Siti Mariam untuk tampil bantu menaikkan taraf hidup mereka melalui perniagaan. Di sinilah dia bertindak memperkenalkan kaedah bisnes produk Faith Fleur sebagai ejen dan stokis bagi mana-mana individu yang berminat untuk berniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Faith Fleur ini cenderung untuk berkongsi rezeki dan mahukan semua orang yang terbabit dalam perniagaannya untuk turut sama-sama berjaya

“Saya masih ingat betapa sukarnya kehidupan sewaktu tidak mempunyai pendapatan yang stabil dahulu. Pernah pada masa itu, saya minta wang belanja daripada suami. Tetapi, dia seolah-olah memberi cabaran kepada saya supaya lebih berdikari mencari wang sendiri daripada sekadar meminta-minta. Ia satu tamparan hebat untuk saya.

“Bermula dari itulah saya nekad untuk lebih agresif mencari duit sendiri, ada aset sendiri dan menjadi ‘bini-bini berdikari’. Saya sebenarnya juga berterima kasih kepada suami kerana atas kata-katanya itulah sebenarnya menjadi dorongan dan ‘turning point’ pembakar semangat kepada saya untuk berubah,” kata Siti Mariam yang turut mendedahkan suaminya turut membantu urusan kerja di syarikat sebagai Ketua Pegawai Operasi.

Mahu terus majukan Ctymary Resources

Biarpun kini berstatus jutawan, Siti Mariam enggan terlalu selesa berada di zon tersebut kerana dia menganggap perjalanan bisnesnya masih panjang. Anak didik kepada Dr. Azizan Osman yang pernah diiktiraf sebagai pemenang bagi Anugerah Outstanding Achievement 2018 oleh Richworks International dan Asia Pacific Beauty, Slimming & Hair Trusted Brand 2019-2021 ini tetap berusaha memperbaiki kemahiran perniagaannya dengan menyertai pelbagai siri kelas, seminar serta program keusahawanan.

Siti Mariam berpendapat bahawa matlamat untuk memajukan syarikat adalah satu perkara yang penting bagi seorang usahawan berwawasan. Untuk mencapai ke tahap yang lebih baik, dia telah menetapkan beberapa sasaran yang mahu dicapai untuk tahun-tahun yang mendatang.

Set penjagaan rambut keluaran Faith Fleur bebas bahan kimia berbahaya dan berupaya merawat pelbagai masalah rambut

“Dalam tempoh lima tahun lagi, Faith Fleur akan menjengah ke pasaran antarabangsa. Setakat ini, kami telah menakluk Singapura dan perancangan rapi untuk ke pasaran Brunei, Thailand dan Indonesia giat dijalankan.

“Untuk tempoh 10 tahun akan datang pula, saya sasarkan di seluruh Malaysia ada rangkaian salun Faith Fleur dan akan ada outlet daripada pengedar kami sendiri. Pada tahun 2030 itu nanti juga saya telah tetapkan visi mahukan syarikat kami tersenarai di Bursa Malaysia,” ujar usahawan jelita ini mengakhiri perbualan.

1 komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.