Sejamas World Sdn Bhd, syarikat penyedia penyelesaian automotif milik Bumiputera, hari ini melancarkan Bateri Madani, bateri kereta bebas penyelenggaraan berkualiti premium mampu milik di pasaran tempatan.
Pelancaran rasmi disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Karnival Mega 3 Damansara, sebagai sebahagian daripada inisiatif nasional untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.
Dibangunkan dengan kerjasama pengeluar global, Bateri Madani ditawarkan pada harga serendah RM130, iaitu sehingga 50 peratus lebih rendah berbanding produk setanding di pasaran. Setiap pembelian turut merangkumi pemasangan profesional, pemeriksaan diagnostik dan penentukuran percuma.
Menurut Sejamas World, bateri tersebut dilengkapi jaminan selama setahun atau 20,000 kilometer untuk kenderaan persendirian, dan boleh didapati di semua cawangan Sejamas serta rangkaian pengedar sah di seluruh negara.
Jurucakap Sejamas World, Alfred Kenneth Jingulam Jr berkata, pelancaran Bateri Madani menandakan langkah penting dalam memastikan akses kepada produk automotif berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.
“Apabila kos sara hidup meningkat, kami mahu menyediakan penyelesaian yang praktikal dan bermakna. Bateri Madani bukan sekadar produk komersial tetapi sebahagian daripada pergerakan nasional untuk memperkasakan rakyat Malaysia,” katanya.
Sokongan Perdana Menteri terhadap pelancaran ini turut menempatkan Bateri Madani dalam rangka ekosistem ‘Gerak Madani’ yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan matlamat kelestarian.
Inisiatif tersebut mencerminkan visi Sejamas World untuk menggabungkan kemajuan teknologi automotif dengan tanggungjawab sosial, selaras dengan aspirasi kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat dan ekonomi domestik.
-NIAGATIMES






















































