Suzuki SV-7GX 2026: Gabungan kuasa, gaya dan keselesaan untuk penunggang era baharu

Suzuki menegaskan komitmennya untuk mengekalkan warisan enjin V-Twin dengan memperkenalkan model baharu Suzuki SV-7GX di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2025 di Milan.

Pelancaran model crossover sport-tourer itu menamatkan spekulasi mengenai penghujung era enjin 650cc V-Twin yang sinonim dengan model legenda Suzuki seperti SV650 dan V-Strom 650.

Menurut Suzuki, SV-7GX 2026 dibangunkan berasaskan platform SV650 namun dengan sentuhan gaya dan teknologi terkini yang diilhamkan daripada model GSX-S1000GX.

Reka bentuknya menampilkan kombinasi elemen touring dan sport termasuk sistem aerodinamik baharu, pelindung tangan, penghadang angin boleh laras serta lampu LED penuh yang menyerlahkan gaya moden dan maskulin.

Dikuasakan oleh enjin dua silinder V-Twin 645cc yang dinaik taraf untuk mematuhi piawaian emisi Euro 5+, SV-7GX menawarkan kuasa maksimum 73.4 kuasa kuda pada 8,500 rpm dan tork 64 Nm pada 6,800 rpm.

Suzuki turut menambah baik bahagian crankshaft, injector dan camshaft bagi memastikan tindak balas lebih pantas serta pemanduan yang lebih lancar di pelbagai tahap kelajuan.

Antara ciri utama SV-7GX ialah sistem Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang merangkumi Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), kawalan cengkaman (Traction Control), serta quickshifter dua hala. Model ini juga dilengkapi dengan paparan TFT berwarna, electronic throttle control, Low RPM Assist, sistem ABS, dan Easy Start System.

Dari segi mekanikal, motosikal ini menggunakan fork teleskopik di hadapan, suspensi monoshock belakang, rim 17 inci, serta tangki bahan api berkapasiti 17.4 liter, dengan berat keseluruhan sekitar 211 kilogram.

Ketinggian tempat duduk 795 milimeter pula menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis penunggang, termasuk yang bertubuh rendah.

Suzuki menggambarkan SV-7GX sebagai jentera ‘seronok ditunggang setiap kali kunci dipulas’ dengan mengekalkan bunyi dan karakter unik V-Twin sambil menawarkan keselesaan serta kawalan yang lebih baik.

Model ini dijangka memasuki pasaran global termasuk Malaysia menjelang tahun depan, menandakan bab baharu dalam evolusi motosikal kelas pertengahan Suzuki yang menggabungkan kuasa tradisional dan teknologi moden.

-NIAGATIMES

Suzuki-SV-7GX.jpg