OLEH: Simon Suresh
Tahun 2020 sudah tentunya merupakan tahun yang mencabar buat segenap lapisan masyarakat. Semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19, perniagaan mengalami kerugian besar, ribuan pekerja daripada pelbagai industri terpaksa diberhentikan bagi mengurangkan kos. Impaknya masih dapat kita rasai hingga ke hari ini.
Wabak Koronavirus telah menjejaskan banyak perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro. Kebanyakan pengusaha terpaksa bergelut dengan isu aliran tunai dan masih gagal bangkit semula daripada kerugian yang mereka hadapi.
PKS merupakan tonggak utama dalam ekonomi Malaysia. Menurut Persatuan PKS Malaysia, hampir suku daripada PKS di Malaysia berhadapan dengan risiko untuk ‘gulung tikar’ pada beberapa bulan akan datang dan situasi ini amat membimbangkan. Organisasi yang sama pada bulan Mac turut menyatakan bahawa hampir sejuta rakyat Malaysia berisiko untuk kehilangan punca pendapatan jika 10 peratus daripada PKS di negara ini terpaksa ditutup jika ekonomi tidak dapat ditangani dengan lebih baik.
Tidak dapat dinafikan, pandemik Covid-19 banyak memberi kesan yang negatif terutama kepada peniaga-peniaga kecil. Namun begitu, masih terdapat peluang yang boleh diterokai dalam membantu mereka bangkit semula dan terus maju ke hadapan dengan mempercepatkan transformasi perniagaan mereka ke arah digital.
Syarikat terpaksa menekan butang ‘reset’, mengubah semula operasi perniagaan mereka dan beralih daripada sistem perniagaan tradisional kepada pendekatan digital dan berpusatkan pengguna.
Sebahagian telah mula menjual produk mereka di platform e-dagang, manakala untuk perniagaan berskala mikro, mereka memaksimumkan penggunaan media sosial dan bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan penghantaran dalam mengepos barangan mereka terus kepada pelanggan.
E-marketplace seperti eBay, Amazon, Lazada dan Shopee, adalah platform yang tepat di mana ia membuka peluang kepada PKS dalam memasarkan produk mereka kepada kumpulan sasaran pembeli yang lebih besar pada kadar yang berpatutan di samping membantu PKS dalam memulihkan kembali kerugian yang dihadapi dalam jangka masa yang lebih pendek.
Usaha kerajaan dalam memperuntukkan RM300 juta di bawah Dana Automasi dan Digitalisasi di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi memberi insentif kepada usahawan-usahawan, melalui insititusi kewangan yang mengambil bahagian, haruslah dipuji. Inisiatif yang menggalakkan lebih ramai usahawan menerima pakai operasi automasi dan digital di dalam perniagaan mereka ini, dilihat tepat pada masanya dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Kerajaan juga dilihat aktif dalam menggalakkan lebih banyak perniagaan untuk beralih kepada digital. Tujuh bidang digitalisasi utama yang telah dikenalpasti termasuklah pemasaran digital dan jualan, sistem ‘Electronic Point of Sales’, sistem sumber manusia, sistem perolehan, e-dagang, kerja jarak jauh selain daripada sistem perakaunan dan pencukaian.
Menyahut seruan, Halal Street UK bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada dengan kerajaan negeri dan persekutuan serta bank dan persatuan perdagangan bagi membantu sektor PKS menerusi solusi berkaitan eksport.
Kita sering melihat dan mendengar syarikat-syarikat Barat mengeksport produk mereka (ironinya ia dibuat di Timur) ke negara-negara Asia. Namun begitu, mengapa negara-negara di Asia Tenggara tidak mengambil langkah dasar pandang ke Barat dalam mengembangkan pasaran eksport mereka? Alasan yang biasa kita dengari adalah perbezaan budaya, peraturan dan undang-undang, serta keperluan logistik.
Peluang yang besar wujud apabila ramai yang takut akan cabaran yang bakal dihadapi. Ternyata, pasaran eksport ke rantau Eropah merupakan antara solusi yang terbaik bagi perniagaan berskala kecil dan sederhana dalam mengambil kesempatan semasa ketidaktentuan perdagangan global ini.
Di Halal Street UK, kami telah berjaya membantu ramai usahawan PKS terutama dalam kalangan sektor perniagaan Bumiputera dalam mengeksport produk halal mereka ke United Kingdom dan negara serantau melalui platform kami; HalalStreet dan HalalExtra. Platform-platform ini membolehkan PKS di Malaysia meneroka pasaran antarabangsa secara selamat sementara dibantu juga oleh Halal Street UK dalam bentuk sokongan dan pengetahuan untuk menjual melaluinya.
Ini bukan sahaja dapat membuka jalan buat mereka malahan turut dapat memperluaskan kehadiran mereka secara dalam talian terutama pada waktu-waktu getir seperti sekarang. Selain itu, platform e-dagang juga merupakan satu anjakan paradigma untuk usahawan-usahawan dalam menaik taraf perniagaan mereka dengan meneroka pasaran di peringkat global yang sering kali membuahkan hasil dalam jangka masa yang panjang.
Walaupun pandemik ini terus menjadi ancaman kepada pemulihan sosio ekonomi negara kita, Belanjawan 2021 merupakan waktu yang terbaik buat kerajaan dalam mempertimbangkan dan mengaplikasikan langkah-langkah yang lebih lestari dalam mengembangkan ekonomi dan membangunkan semula pertumbuhan negara.
Pembentangan yang dijadualkan pada 6 November ini akan menggariskan kombinasi polisi mesra perniagaan, pengurusan fiskal yang berhemah, dan alat transformasi yang lebih efektif dalam membangunkan semula daya tahan negara dalam menghadapi kejutan ekonomi pada masa akan datang.
Kerajaan akan terus mendukung perusahaan-perusahaan di sektor utama yang terjejas akibat kesan daripada pandemik, di samping memastikan persekitaran yang lebih stabil dan kondusif untuk kemasukan pelaburan serta menjana pulangan tambah nilai.
Saya secara peribadi berharap agar kerajaan dapat menawarkan lebih banyak dan pelepasan cukai untuk usahawan PKS dalam menyelesaikan masalah aliran tunai pada masa yang sama terus mempromosi transformasi digital. Kerajaan seharusnya memperkenalkan inisiatif-inisiatif lain seperti mengurangkan kos operasi, melindungi sektor pekerjaan dan meningkatkan perbelanjaan pelanggan bagi membantu perniagaan-perniagaan ini mengembangkan kemampuan-kemampuan baru untuk pertumbuhan jangka masa panjang.
Seluruh dunia termasuklah Malaysia menantikan tahun 2021, Tahun Pemulihan. Diharapkan kita dapat menyaksikan sinar baharu bagi satu permulaan yang lebih baik untuk ekonomi tanah air yang dicintai ini.
-NIAGATIMES
** Simon Suresh merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Street UK Ltd
(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi NiagaTimes mahupun niagatimes.com)