MFA gesa peruntukan Belanjawan 2021 tidak ketepi industri francais

Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyarankan kepada kerajaan agar dapat memberi tumpuan dan peruntukkan dalam Belanjawan 2021 kepada industri francais tempatan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak bulan Mac 2020 yang lalu.

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, syarikat francais tempatan atau francaisor terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) amat memerlukan sokongan dan bantuan kewangan daripada kerajaan dari segi penyewaan premis perniagaan dan penggajian pekerja terutamanya pekerja di bahagian operasi untuk terus bertahan dalam keadaan yang sukar ini.

“Walaupun para usahawan francais boleh mendapatkan sebahagian bantuan kewangan daripada program PENJANA kini, namun ianya tidak dapat menampung untuk meringankan cabaran usahawan agar dapat terus bertahan dalam perniagaan.

“MFA yakin sekiranya kerajaan dapat meneruskan program subsidi upah di bawah PENJANA sebanyak RM600 sebulan sehingga Disember 2021 serta melanjutkan moratarium bagi pembayaran pinjaman dan pembiayaan ke atas perniagaan sehingga Jun 2021, ianya dapat memberi kelegaan dan membantu meringankan beban aliran tunai perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Radzali menjelaskan bahawa MFA juga berharap agar kerajaan dapat melonggarkan syarat pinjaman atau pembiayaan perniagaan bagi modal kerja di mana-mana agensi berkaitan.

Malah, pihak kerajaan juga digesa menggalakkan lebih banyak bank untuk menawarkan skim pembiayaan francais kepada usahawan yang mengubah perniagaan sedia ada kepada model perniagaan francais atau francaisor dan francaisi sedia ada yang mempunyai trek rekod yang baik, memandangkan perniagaan francais merupakan perniagaan yang mempunyai risiko rendah berbanding model perniagaan yang lain.

-NIAGATIMES

MFA.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.