Koleksi set perkakasan dapur diketahui umum ada kumpulan peminatnya yang tersendiri lebih-lebih lagi bagi golongan suri rumah. Di Malaysia sendiri, ia bukan sahaja dilihat sebagai hiasan di meja hidangan semata-mata, malah turut dianggap sebagai simbolik taraf hidup sesebuah keluarga dalam masyarakat. Faktor-faktor itulah antara yang menarik minat Tengku Isma Rofieza Tengku Iskandar Abu Bakar, untuk memulakan perniagaan set dapur berasaskan seramik. Kini bisnes yang diusahakannya telah menginjak tahun keempat di bawah jenama Kitchen Home Outlet serta label TF yang mewakili identiti namanya sendiri.
Ketika memulakan bicara, terdengar sayu bait-bait perkongsian ceritanya mengimbau detik-detik awal sewaktu membangunkan Kitchen Home Outlet atau KHO. Dia yang lebih mesra disapa sebagai Tengku Fieza mendedahkan betapa dirinya tidak begitu mahir tentang selok-belok dunia bisnes. Tindak-tanduknya dalam membuat keputusan banyak berpaksikan kepada dasar ‘berani cuba, belajar dan buat’ sahaja.
“Minat terhadap barangan dapur seramik ini pada mulanya timbul setelah saya melihat rekaan-rekaan yang cukup cantik ketika melancong di luar negara. Lantas timbul rasa dalam diri mahu ada bisnes sebegitu di Malaysia. Kalau boleh, biar saya jadi pelopornya.
“Semasa hendak mulakan perniagaan ini, saya memang kurang pasti yang saya boleh buat. Tapi saya fikir, jika tidak mula pasti saya tak akan tahu.
“Malah, saya juga tidak begitu arif tentang cara-cara mengimport barang-barang seramik yang dipesan untuk masuk ke Malaysia. Tapi, saya bulatkan tekad untuk redah sahaja,” ujarnya ketawa kecil.
Tengku Fieza memulakan perniagaan tanpa menggunakan sebarang modal. Bahkan dia juga tidak memohon pinjaman daripada mana-mana pihak. Perniagaannya ketika itu hanya dijalankan secara atas talian iaitu melalui platform media sosial Facebook dan Instagram. Cakap sahaja apa tugasan yang tidak dibuat? Semakin hari, semuanya kemudian seolah-olah ‘alah bisa tegal biasa’.
“Bermula dari mencari sumber-sumber pembekal dan barangan, mencari pelanggan, mempromosikan produk, mencari kotak, membungkus, mencari dan membuat perbandingan syarikat pengeposan mana yang lebih sesuai dan jimat, mengendalikan media sosial, mengambil dan menyunting gambar, membuat video dan sebagainya. Semua saya buat sendiri,” jelasnya.
Kitchen Home Outlet yang diasaskan oleh Tengku Fieza pada Jun 2016 terus berkembang pesat dari tahun ke tahun. Percaya atau tidak, ibu kepada empat orang anak ini tetap bertahan mengendalikan perniagaan secara bersendirian meskipun masuk tahun kedua dia menguruskannya ketika itu. Sehinggalah kemudian pada tahun 2017 pejabat urusan dan ‘outlet’ rasmi KHO akhirnya dibuka kepada umum di Ara Damansara.
“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelanggan-pelanggan untuk datang berkunjung melihat sendiri material barangan seramik KHO di ‘outlet’ kami. Malah, kami juga terbuka mengalu-alukan kedatangan pelanggan yang cenderung untuk mengambil sendiri barang yang dipesan dan dibeli mereka di sini,” katanya.
Kualiti bahan yang dikeluarkan Kitchen Home Outlet bukannya sekadar ‘tangkap muat’. Rata-rata pelanggan menaruh kepercayaan terhadap produk keluaran KHO berdasarkan faktor material ‘stoneware’ iaitu bahan jenis seramik yang ditempa dengan suhu tinggi pada pembuatannya. Bahan jenis ini juga selamat untuk digunakan dalam ketuhar dan ketuhar gelombang mikro serta tiada bahan campuran binatang.
“Kami tidak sahaja menitik beratkan corak, tetapi juga memilih kilang-kilang dan meneliti proses buatan yang menggunakan hanya bahan-bahan yang selamat untuk kesihatan.
“Pemilihan kilang-kilang adalah penting kerana pengalaman kilang dalam selok-belok produk dan tahap keselamatan antarabangsa yang dipraktikkan dapat bantu menghasilkan produk-produk yang bertaraf global.
“Melalui KHO, setakat ini kami berjaya mengeluarkan dua produk jenama TF iaitu Blue Floria Casserole yang dilancarkan sejak Mei 2019 dan Blue Floria Dinnersets yang diperkenalkan pada Mac 2020, baru-baru ini,” ujar Tengku Fieza.
-NIAGATIMES