Teks Ucapan Belanjawan 2021: Kelangsungan Perniagaan

Teks ucapan berikut merupakan petikan pembentangan Belanjawan 2021 bagi matlamat kelangsungan perniagaan yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Dewan Rakyat semalam:

MATLAMAT KEDUA: KELANGSUNGAN PERNIAGAAN

Datuk Yang di-Pertua,

Persekitaran perniagaan kini telah berubah. Maka, di bawah matlamat kedua iaitu kelangsungan perniagaan, fokus Kerajaan adalah untuk memacu pelaburan, memperkukuh sektor-sektor tumpuan dan memudah akses perniagaan.

Strategi 1: Memacu Pelaburan

Strategi pertama adalah untuk memacu pelaburan. Bagi membantu syarikat-syarikat tempatan mendepani cabaran masa hadapan, Kerajaan akan bertindak sebagai pemudah cara dalam menyediakan akses kepada dana pelaburan termasuk menambah baik persekitaran perniagaan.

Bagi setiap cabaran yang dihadapi, akan berbangkitnya peluang. Dalam konteks COVID-19, walaupun perniagaan terkesan, namun ada sektor industri yang masih tumbuh pesat seperti peralatan perubatan, e-commerce dan penghantaran serta teknologi pendidikan. Senario ini, di samping pergelutan perdagangan dunia, mewujudkan peluang bagi Malaysia untuk mengambil kesempatan menarik syarikat, pelaburan, serta peluang ekonomi baharu. Ini adalah antara tumpuan Kerajaan di bawah matlamat dua ini.

Langkah 1: Pelaburan Dalam Sektor Utama

Untuk itu, 1 bilion ringgit disediakan sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi. Dana ini antaranya bertujuan menyokong pelaburan R&D dalam bidang aeroangkasa serta kluster elektronik di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Sebagai tambahan, Dana Teknologi Tinggi bernilai 500 juta ringgit akan disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyokong syarikat sektor teknologi tinggi dan berinovasi. Penyediaan dana ini akan membolehkan Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian nilai global serta memelihara ekosistem rantaian bekalan dan melindungi pekerjaan kemahiran tinggi.

Kerajaan komited menjadikan Malaysia sebagai destinasi aktiviti perkhidmatan bernilai tinggi. Sehubungan itu, inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Melonggarkan syarat galakan cukai untuk Hab Prinsipal dan melanjutkannya sehingga 31 Disember 2022;

Kedua: Pengenaan kadar cukai bagi penubuhan Global Trading Centre pada kadar konsesi 10 peratus bagi tempoh 5 tahun dan boleh diperbaharui bagi tempoh 5 tahun lagi;

Ketiga: Menaikkan had nilai jualan bagi aktiviti tambah nilai dan aktiviti tambahan yang dijalankan di Zon Perindustrian Bebas dan Gudang Pengilangan Berlesen daripada 10 peratus kepada 40 peratus daripada nilai jualan tahunan; dan

Keempat: Melanjutkan layanan kadar cukai pendapatan istimewa pada kadar rata 15 peratus untuk tempoh 5 tahun kepada individu bukan warganegara yang memegang jawatan utama bagi pelaburan baharu strategik oleh syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia.

Melalui PENJANA, Kerajaan telah menawarkan kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu. Sukacita dimaklumkan permohonan untuk insentif tersebut akan dilanjutkan selama satu tahun lagi sehingga 31 Disember 2022. Skop galakan cukai turut diperluas kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih yang memberi kesan pengganda signifikan dengan pemberian kadar cukai pendapatan 0 hingga 10 peratus untuk tempoh 10 tahun.

Satu kajian menyeluruh ke atas struktur galakan cukai sedia ada sedang dilaksanakan bagi menyediakan rangka kerja galakan percukaian yang kompetitif, telus dan lebih menarik. Bagi memberi ruang kepada kajian tersebut, galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini akan dilanjutkan sehingga 2022. Lanjutan tempoh ini merangkumi galakan cukai untuk aktiviti MRO bagi aeroangkasa, pembinaan dan pembaikan kapal, status Bionexus dan galakan cukai bagi koridor pembangunan ekonomi.

Datuk Yang di-Pertua,

Skim Pembangunan Nasional bernilai 1.4 bilion ringgit oleh Bank Pembangunan Malaysia akan diperkenalkan bagi menyokong pelaksanaan pembangunan rantaian bekalan domestik dan meningkatkan penghasilan produk tempatan seperti peralatan perubatan.

Selain itu, Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan dan Dana Pengangkutan Awam akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 dengan ketersediaan dana sebanyak 3.7 bilion ringgit.

Daripada keseluruhan dana skim-skim tersebut, 500 juta ringgit dikhususkan kepada usahawan Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan dalam sektor utama.

Selanjutnya, untuk terus membantu PKS terkesan, kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar bernilai 2 bilion ringgit di bawah BNM akan diperkenalkan melalui pinjaman daripada institusi perbankan.

Langkah 2: Penambahbaikan Persekitaran Perniagaan

Datuk Yang di-Pertua,

Semasa sesi Jelajah Belanjawan ke kawasan perindustrian di seluruh Malaysia, isu utama yang dibangkitkan ialah keperluan menambah baik infrastruktur. Bagi meningkatkan daya saing industri, sukacita saya mengumumkan inisiatif seperti berikut:

Pertama: 100 juta ringgit bagi penyelenggaraan infrastruktur kawasan perindustrian;

Kedua: 42 juta ringgit di bawah program JENDELA bagi menambah baik kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian;

Ketiga: Pembangunan sebuah loji rawatan air di daerah Kubang Pasu bagi menyokong keperluan pelaburan projek Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan penduduk di kawasan tersebut; dan

Keempat: 45 juta ringgit diperuntukkan bagi memenuhi keperluan pembekalan air bagi sektor petrokimia yang tertumpu di zon perindustrian Gebeng.

Kerajaan akan melaksanakan kemudahan Authorised Economic Operator atau AEO di peringkat nasional bertujuan mempermudah proses akreditasi AEO dan diperluas kepada pembekal perkhidmatan logistik dan operator gudang yang diluluskan.

Selain itu, bagi menambah baik kecekapan perniagaan rentas sempadan dan meningkatkan produktiviti sektor logistik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan mengintegrasikan 43 agensi pengeluar permit dan lesen dagangan dalam platform AEO.

Langkah 3: Inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi

Datuk Yang di-Pertua,

Dalam usaha menyokong perkembangan sains dan teknologi, Kerajaan memperuntukkan 400 juta ringgit khusus untuk tujuan R&D yang melibatkan beberapa kementerian dan agensi.

Bagi mewujudkan ekosistem R&D yang lebih kompetitif, galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D berasaskan bukan sumber akan diperkenalkan semula dan galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D oleh institusi penyelidikan awam akan diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi swasta.

Selanjutnya, 20 juta ringgit akan disediakan bagi program Malaysia Techlympics dan Science Space bertujuan mewujudkan kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan atau AI dan robotik dalam kalangan belia. Datuk Yang di-Pertua,

Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit daripada langganan Sukuk PRIHATIN untuk menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit merangkumi pembangunan vaksin, serta kajian rawatan dan diagnostik.

Selanjutnya, sukacita saya maklumkan bahawa empat syarikat sarung tangan utama iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan telah menyatakan komitmen untuk menyumbang 400 juta ringgit untuk memerangi COVID-19 termasuk menampung sebahagian kos vaksin COVID-19 dan kos perbelanjaan peralatan kesihatan. Kerajaan amat menghargai komitmen sektor swasta, NGO dan individu yang sama-sama menyumbang dalam usaha ini.

Langkah 4: Barangan Buatan Tempatan

Datuk Yang di-Pertua,

Bagi menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan, beberapa inisiatif akan dilaksanakan seperti berikut:

Pertama: 25 juta ringgit bagi program Pembangunan Francais Mikro

dan Francais Mampu Milik serta program Beli Barangan Buatan Malaysia;

Kedua: 150 juta ringgit bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100 ribu usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen eDagang PKS dan PKS Mikro;

Ketiga: 150 juta ringgit bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui usahasama dengan platform e-commerce utama untuk menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan turut memanfaatkan 500 ribu usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraf tangan; dan

Keempat: 35 juta ringgit bagi mempromosi barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia di bawah Misi Perdagangan dan Pelaburan.

Selain itu, bagi memastikan Malaysia menjadi tumpuan pelaburan terutamanya dalam pengeluaran vaksin, ubat dan peranti perubatan dalam negara, Kerajaan akan memperkasa Program Perjanjian Off-Take Kementerian Kesihatan untuk menarik pelaburan ke negara ini dan potensi pengeluaran ubat dan vaksin pada masa hadapan.

Sebagai tambahan, bagi menggalakkan syarikat pengeluar produk farmaseutikal termasuk vaksin khususnya vaksin COVID-19 untuk melabur di Malaysia, pemberian galakan kadar cukai pendapatan antaranya 0 hingga 10 peratus untuk 10 tahun pertama.

Strategi 2: Memperkukuh Sektor-sektor Tumpuan

Datuk Yang di-Pertua,

Strategi kedua adalah untuk memperkukuh sektor-sektor tumpuan.

Langkah 1: Pemerkasaan Sektor Pertanian

Pada tahun 2019, sektor pertanian menyumbang 7.1 peratus daripada KDNK. Tatkala sektor-sektor lain mencatatkan penguncupan ekoran pandemik COVID-19, sektor pertanian diunjurkan terus berkembang pada 4.7 peratus daripada KDNK tahun hadapan.

Sehubungan itu, bagi tahun 2021, beberapa inisiatif utama bagi sektor pertanian dan industri makanan akan dilaksanakan antaranya seperti berikut:

Pertama: Peluasan Program Kebun Komuniti kepada komuniti separa bandar dan luar bandar dengan peruntukan berjumlah 30 juta ringgit. Program ini menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan media tanaman bernilai sehingga 500 ringgit setiap individu atau 50 ribu ringgit setiap komuniti yang bakal memanfaatkan 60 ribu peserta;

Kedua: Pelaksanaan Projek Pertanian Organik di peringkat komuniti dengan peruntukan 50 juta ringgit dan dijangka memanfaatkan 1,000 komuniti;

Ketiga: Pelaksanaan Program Ladang e-Satelit dengan peruntukan 10 juta ringgit secara geran padanan sehingga 30 ribu ringgit kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan, PPK bagi tujuan pembelian peralatan pertanian berasaskan Internet of Things termasuk dron. Program ini dijangka memanfaatkan lebih 300 PPK dengan keahlian hampir 1 juta petani dan peladang;

Keempat: Pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan sehingga 5 juta ringgit pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada nelayan zon A dan B untuk menaik taraf peralatan, pukat dan bot. Bagi tujuan ini, sebanyak 150 juta ringgit disediakan melalui Agrobank;

Kelima: Pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sehingga 1 juta ringgit pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada pengusaha pertanian untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan IR4.0. Bagi tujuan ini sebanyak 60 juta ringgit disediakan Agrobank;

Keenam: Pelaksanaan Program Pengembangan Akuakultur dengan peruntukan 10 juta ringgit secara geran padanan sehingga 20 ribu ringgit kepada pengusaha mikro untuk membeli peralatan bagi mengembangkan ternakan akuakultur bernilai tinggi seperti udang kara dan ikan kerapu; dan

Ketujuh: Pelaksanaan projek pertanian dan penternakan berimpak dan bernilai tinggi dengan peruntukan 100 juta ringgit melalui kerjasama dengan kerajaan Negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan ternakan udang galah di Negeri Sembilan.

Langkah 2: Pembangunan Sektor Komoditi

Datuk Yang di-Pertua,

Sektor komoditi merupakan sektor utama yang menyediakan input kepada pelbagai produk hiliran bernilai tambah tinggi dan menjana pendapatan eksport negara. Sebagai usaha memperkukuh kelangsungan pelbagai sektor komoditi, bagi tahun hadapan, langkah-langkah berikut akan dijalankan:

Pertama: Meneruskan program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan 20 juta ringgit bagi merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit negara. Geran padanan sebanyak 30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi akan diperkenalkan;

Kedua: Menyediakan insentif pengeluaran lateks sebanyak 16 juta ringgit secara padanan bagi menggalakkan pengeluaran lateks yang memerlukan waktu kerja lebih panjang berbanding pengeluaran cuplump yang bakal dimulakan di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan; dan

Ketiga: Membuka kawasan perindustrian perabot di Pagoh bagi merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan.

Selain itu, dalam RMKe-12, Kerajaan juga akan menyediakan dana pusingan berjumlah 500 juta ringgit bagi program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan. Dana pinjaman ini khusus untuk pembangunan ladang hutan yang berkeluasan 4 hektar dan ke atas.

Langkah 3: Kelangsungan Industri Pelancongan

Datuk Yang di-Pertua,

Kerajaan sedar bahawa sektor pelancongan terutamanya syarikat penerbangan merupakan antara sektor yang paling terkesan. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan dari syarikat penerbangan di Malaysia dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.

Kerajaan juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 500 orang daripada komuniti setempat dan Orang Asli sebagai jurupandu pelancong di semua taman negara bagi merancakkan segmen ekopelancongan.

Seterusnya, bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong, sebanyak 50 juta ringgit disediakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara. Sejumlah 20 juta ringgit juga diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-Kampung Budaya di negeri Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Selain itu, 10 juta ringgit diperuntukkan bagi memastikan bangunan warisan kebangsaan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, dan Carcosa Seri Negara juga akan terus kekal terpelihara dan menjadi ikon pelancongan.

Industri pelancongan kesihatan berpotensi sebagai pelaburan baharu negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 35 juta ringgit kepada Malaysia Healthcare Travel Council bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan. Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian cukai pendapatan bagi eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sehingga tahun 2022.

Kerajaan mendengar keluhan para peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong. Sehubungan itu, sukacita Kerajaan mengumumkan Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak 1,000 ringgit akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah. Geran khas ini juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

Bagi membantu mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang masih terjejas, pengecualian levi tabung HRDF akan diberikan selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021. Pengecualian tersebut akan meliputi sektor pelancongan dan syarikat yang terjejas COVID-19.

Strategi 3: Mengutama Automasi dan Pendigitalan

Datuk Yang di-Pertua,

Strategi ketiga adalah untuk mengutama automasi dan pendigitalan. Bergerak ke hadapan, Kerajaan akan menumpukan kepada produktiviti jangka panjang melalui penggunaan teknologi baharu bagi mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Kerajaan melalui BPMB akan melaksanakan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai 1 bilion ringgit bertujuan untuk merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.

Selain itu, bagi menyokong aktiviti automasi dan modenisasi, dana tambahan berjumlah 150 juta ringgit disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi. Syarat kelayakan geran ini turut dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama enam bulan.

Strategi 4: Memudah Akses Pembiayaan

Datuk Yang di-Pertua,

Strategi keempat adalah untuk memudah akses pembiayaan. Melalui pakej PRIHATIN dan PENJANA, 1.9 bilion ringgit dana pinjaman mudah telah disediakan bagi membantu usahawan PKS dan PKS mikro yang sukar mendapatkan akses pembiayaan.

Langkah 1: Pembiayaan Kredit Mikro

Bagi menggalakkan perniagaan berstatus mikro dan kecil dalam kalangan Bumiputera beranjak ke kategori yang lebih tinggi, SME Bank akan menyediakan kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi dengan dana berjumlah 300 juta ringgit.

Untuk membantu kewangan PKS yang berurusan dalam pembekalan kepada Kerajaan atau GLC, Kerajaan akan memperkenalkan platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional ataupun National Supply Chain Finance Platform. Platform yang diberi nama “JanaNiaga” ini akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama dan membantu PKS untuk mendapat pinjaman daripada institusi kewangan. Platform JanaNiaga akan diterajui oleh EXIM Bank dengan penglibatan beberapa institusi kewangan. 300 juta ringgit disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga. Buat masa ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia. Ia akan diperluas kepada GLC lain, Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan pada masa depan.

Pembiayaan secara peer-to-peer atau P2P di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti merupakan antara inovasi kewangan alternatif yang telah menjana pembiayaan melebihi 900 juta ringgit kepada PKS. Bagi menyokong platform P2P terutamanya yang berasaskan pembiayaan invois, 50 juta ringgit akan diperuntukkan secara pelaburan padanan.

Seterusnya, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir 1.2 bilion ringgit disediakan melalui TEKUN, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain. Ini termasuk tambahan sebanyak 110 juta ringgit kepada Micro Enterprises Facility di bawah BNM bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTEKAD.

Program iTEKAD yang telah dilancarkan pada Mei 2020 dengan menggabungkan pembiayaan sosial dan pembiayaan mikro akan memperkasa usahawan mikro dari segmen B40 untuk menjana pendapatan lestari. Program iTEKAD akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa agama negeri dan rakan pelaksanaan pada tahun 2021.

Menerusi PUNB pula, 230 juta ringgit disediakan sebagai pembiayaan kepada PKS bagi perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan SOP COVID19.

Langkah 2: Jaminan Pinjaman

Datuk Yang di-Pertua,

Setakat ini, sebanyak 25 bilion ringgit jaminan telah diberikan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan. Sukacita, Kerajaan akan meningkatkan jaminan sehingga 10 bilion ringgit lagi, dengan 2 bilion ringgit diperuntukkan khusus kepada usahawan Bumiputera.

Untuk syarikat korporat yang terlibat dalam industri berkemahiran tinggi seperti minyak & gas, dan aeroangkasa, jaminan bernilai 3 bilion ringgit dikhususkan di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin. Skim ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2021 dengan terma dan syarat yang ditambah baik.

Bagi menggalakkan aktiviti pemberian kredit yang teratur dan meningkatkan perlindungan pengguna, Akta Kredit Pengguna akan digubal. Akta ini menyediakan kerangka kawal selia aktiviti berkaitan pemberian kredit pengguna dan memperkukuh penyeliaan ke atas penyedia kredit bukan bank yang pada masa ini tidak diselia. Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan menerajui usaha menggubal kawal selia penyedia kredit pengguna.

Langkah 3: Pembiayaan Alternatif

Datuk Yang di-Pertua,

Equity Crowd Funding atau ECF merupakan antara kaedah pembiayaan alternatif, terutamanya untuk syarikat start-up berteknologi. Bagi menggalakkan lebih ramai pelabur individu menyertai pembiayaan menerusi platform ECF, pengecualian cukai pendapatan 50 peratus daripada amaun pelaburan atau terhad kepada 50 ribu ringgit akan diberikan. 30 juta ringgit juga diperuntukkan secara geran padanan untuk dilabur ke dalam platform ECF di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti.

-NIAGATIMES

Budget-2021.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.