Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yakin pengumuman Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lalu mampu memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha sawit di Malaysia serta merancakkan lagi industri sawit tempatan pada tahun hadapan.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan antaranya pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas beberapa produk sawit di dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) lalu telah berjaya meningkatkan harga minyak sawit.
โHarga Minyak Sawit Mentah (MSM) harian telah melonjak kepada RM3,354.00 setan pada 4 November 2020 dan merupakan harga yang paling tinggi bagi tempoh tiga tahun iaitu 2018 hingga 2020 dengan peningkatan sebanyak RM1,636.50 atau 95.28 peratus berbanding paras terendahnya iaitu RM1,717.50 pada 21 November 2018.
โPeningkatan harga MSM turut menyumbang kepada kenaikan harga Buah Tandan Segar (BTS) kepada RM698 setan pada 4 November 2020 berbanding RM408 setan pada 12 Mei 2020,โ katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Ahmad Jazlan berpendapat bahawa pengumuman RM20 juta ringgit bagi program pemilikan Sijil Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang diperuntukan dalam Belanjawan 2021 kelak akan membantu MPOB melestarikan komoditi sawit negara ke arah kemampanan sawit Malaysia yang kini mencapai 88.04 peratus melibatkan pekebun kecil persendirian, pekebun kecil tersusun dan ladang sawit.
โSelain itu, geran padanan yang diumumkan juga akan menggerakkan industri sawit negara ke arah Revolusi Industri 4.0.
โMPOB yakin geran ini akan membantu syarikat-syarikat yang terlibat untuk terus berdaya saing dan turut dapat memasarkan inovasi mereka ke negara-negara yang terlibat dengan industri sawit ini,โ ujarnya.
-NIAGATIMES