TerraPay, sebuah syarikat infrastruktur pembayaran global terkemuka mengumumkan perkongsiannya dengan Safaricom, penyedia perkhidmatan telekomunikasi, IT dan kewangan terkemuka di Kenya. Kedua-dua syarikat secara bersama-sama akan menerima manfaat rangkuman kewangan dengan memudahkan pembayaran tanpa sempadan segera.
Perkongsian tersebut, melalui syarikat kumpulan TerraPay Mobex (Kenya) sebuah Penyedia Penghantaran Wang berlesen, akan membolehkan lebih daripada 30 juta pemegang dompet mudah alih M-PESA di Kenya menghantar pembayaran dalam masa nyata melalui rangkaian saling kendali TerraPay merentasi semua dompet di Bangladesh dan Pakistan, dengan rancangan untuk menjalankan operasinya di India dan Nepal dalam masa beberapa bulan.
Memandangkan peningkatan tawaran rentas sempadan, dalam tempoh enam bulan sehingga bulan Mac 2023, transaksi Tahun ke Tahun M-PESA Global meningkat dalam volum dan nilai sebanyak 2.2 peratus dan 5.6 peratus, masing-masing. Sejak kebelakangan ini, penggunaan pembayaran wang mudah alih di Kenya telah meningkat berikutan desakan Bank Pusat untuk perkhidmatan tersebut.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif TerraPay, Ambar Sur berkata, pihaknya percaya hasil kerjasama dengan Safaricom ini bakal merangsang dunia baharu untuk para pengendali perkhidmatan kewangan mudah alih untuk terus berskala global dan menyediakan pelanggan pilihan untuk menghantar pembayaran secara selamat, telus dan pantas.
“Perkongsian kami dengan Safaricom akan memperkasakan para pelanggan Safaricom dengan pilihan pembayaran tanpa sempadan yang pantas dan berpatutan serta akses kepada rangkaian rakan kongsi meluas TerraPay sebanyak lebih 7.5 bilion akaun bank dan lebih 2.1 bilion dompet mudah alih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Safaricom, Peter Ndegwa menyatakan kerjasama dengan TerraPay datang pada masa yang tepat di mana semakin ramai pelanggan menerima pembayaran digital untuk menghantar wang kepada orang tersayang.
“Platform teknologi saling kendali TerraPay akan membolehkan pelanggan kami melaksanakan pembayaran terjamin dan kos rendah di seluruh wilayah utama yang seterusnya menggalakkan penggunaan pembayaran digital di rantau ini,” ujarnya.
-NIAGATIMES