Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) meneruskan inisiatif Jom XCESS ke Wilayah Sabah dengan menawarkan kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat untuk usahawan PMKS.
Antara pemangkin utama sektor perniagaan yang dikenal pasti oleh SME Bank bagi wilayah ini ialah usahawan dari industri pembuatan, pembinaan serta pelancongan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, SME Bank telah menganjurkan sebanyak tiga sesi Jom XCESS yang melibatkan seramai 311 orang usahawan PMKS dari Wilayah Utara, Kuala Lumpur dan Pantai Timur.
“Sebagai langkah menyokong inisiatif ini, wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut memberi taklimat tentang Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV), sebuah inisiatif untuk meningkatkan penglibatan syarikat vendor dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
“KUSKOP juga telah menyediakan pelbagai dana pemudah cara bagi tujuan peningkatan kapasiti usahawan seperti Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial SME Bank bernilai RM20 juta.
“KUSKOP turut menyediakan dana keseluruhan bernilai RM11.5 juta khusus untuk CEDAR laksanakan empat program pembangunan kapasiti keusahawanan bagi tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail menyatakan, tiga buah cawangan SME Bank di Sabah iaitu Sabah Regional Centre dan Kota Kinabalu Enterprise Centre di Kota Kinabalu, dan juga Tawau Enterprise Centre telah memproses dan meluluskan pembiayaan bernilai RM168 juta pada tahun lalu.
“Sehingga Jun tahun ini pula, SME Bank telah memproses dan meluluskan pembiayaan bernilai RM48 juta.
“Tiga portfolio utama SME Bank bagi Kota Kinabalu khususnya ialah perdagangan borong dan runcit, restoran dan perhotelan bernilai RM125 juta; pembinaan dengan nilai RM71 juta dan kewangan, insurans, hartanah dan aktiviti perniagaan bernilai RM40 juta,” jelasnya.
Antara kemudahan pembiayaan yang ditawarkan pada Jom XCESS SME Bank edisi Wilayah Sabah ini termasuklah IBS Promotion Fund 2.0, Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG) serta Pembiayaan Pelancongan Penjana di samping pelbagai program pembiayaan yang lain.
-NIAGATIMES