Mahu memulakan tahun baru dengan percutian yang hebat dan memenangi pelbagai hadiah menarik? Jangan berlengah lagi kerana Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sedang menganjurkan peraduan di media sosial untuk para pengunjung yang melawat ke gugusan 99 buah pulau yang menakjubkan.
Bermula dari 15 Disember 2022, para pelancong yang berkunjung ke Langkawi boleh menyertai peraduan dengan memuat naik video TikTok yang memaparkan pengalaman terbaik mereka di Langkawi dengan hanya #LangkawiBestWey.
Pengguna dikehendaki mengetengahkan dua aspek yang berbeza berkaitan Langkawi di dalam video berkenaan (contoh destinasi makanan tempatan, pantai yang bersih, port kafe yang memukau, aktiviti mencabar dan sebagainya).
Video itu boleh dimuat naik ke dalam mana-mana laman media sosial, termasuk Facebook, Instagram atau TikTok. Untuk melayakkan diri, para peserta juga perlu meletakkan tag ke laman sosial rasmi Naturally Langkawi yang berkaitan.
Selepas peraduan ini ditutup pada 15 Februari 2023, seramai 20 pemenang akan dipilih untuk memenangi pelbagai hadiah menarik yang pastinya akan membuatkan anda tidak sabar untuk kembali ke pulau indah ini sekali lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Bbdul Muttalib berkata, pihaknya menganjurkan peraduan ini sebagai tanda terima kasih dan memberi peluang kepada pelancong-pelancong untuk mempamerkan kenangan indah mereka ketika berada di Langkawi untuk berpeluang memenangi hadiah menarik.
“Dalam era digital ini, pelancong gemar mendokumentasikan perjalanan mereka menerusi telefon pintar mereka. Selaras dengan trend zaman moden ini, kami telah memutuskan untuk memanfaatkannya dan memberikan hadiah kepada mereka yang paling kreatif merakamkan kenangan mereka.
“Kami akan menyaring semua penyertaan dan memastikan bahawa kami memberikan ganjaran kepada mereka yang berjaya merakamkan detik pengalaman mereka di Langkawi dengan cara yang paling indah,” katanya.
Pemenang hadiah utama peraduan ini akan membawa pulang dua tiket ke Sky Cab Langkawi, penginapan tiga hari dua malam di Tanjung Rhu Resort termasuk sarapan pagi, dua tiket Langkawi Sunset Party Cruise, dua tiket Splash Out Langkawi, dan pelbagai lagi.
-NIAGATIMES