Pusat Bateri Kenderaan Elektrik Hidrogen (HEBATT) dilancarkan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba merasmikan Pusat Bateri Kenderaan Elektrik Hidrogen (HEBATT) iaitu pusat inovasi bateri tempatan yang akan menghasilkan bateri sel kantung nanoteknologi untuk aplikasi Kenderaan Elektrik (EV), semalam.

HEBATT merupakan pencapaian penting bagi Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) yang diterajui agensi di bawah MOSTI, NanoMalaysia Berhad (NMB).

HEBATT akan mengeluarkan bateri dipertingkatkan dengan teknologi nano yang mempunyai ketumpatan tenaga yang tinggi dan prestasi pengecasan pantas sambil mengurangkan risiko bahaya kepada alam sekitar.

Adham berkata, pembangunan HEBATT ini secara tidak langsung akan mengekalkan negara pada trajektori ekonomi rendah karbon dan kecekapan sumber sambil mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain global dalam pasaran bateri yang bernilai berbilion dolar AS.

“MOSTI yakin bahawa HEBATT akan menerajui pembangunan bateri yang dipertingkatkan teknologi nano Malaysia dan seterusnya menuju pencapaian baharu dengan impak sosio-ekonomi yang ketara.

“Ini penting untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Berteknologi Tinggi menjelang tahun 2030 dan pada masa yang sama meletakkan Malaysia antara negara teratas dunia bagi pembangunan ekonomi yang dipacu oleh teknologi inovatif untuk kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

HEBATT merupakan kerjasama antara penerima pelaburan Kumpulan NanoMalaysia, HyPERTech Industries Sdn Bhd (HTSB) dan International Battery Center (IBC) Sdn Bhd iaitu pusat perundingan sehenti bagi kerjasama inovatif tempatan dan antarabangsa antara industri, universiti dan agensi kerajaan.

-NIAGATIMES

kredit-foto-Adham-Baba.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.