Hilton baru-baru ini mengumumkan pembukaan DoubleTree by Hilton Damai Laut Resort, sebuah pusat peranginan yang mempunyai 294-bilik menghadap Selat Melaka.
Penambahan terkini kepada portfolio Hilton di Malaysia ini melambangkan pengembangan berterusan syarikat hospitaliti global di negara ini, susulan pembukaan DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City pada bulan Julai lalu.
“DoubleTree by Hilton Damai Laut Resort merupakan penambahan yang hebat kepada rangkaian 13 hotel semasa kami di negara ini, termasuk enam hotel DoubleTree by Hilton yang sedang beroperasi.
“Kami terus mengembangkan kehadiran kami di Malaysia, kami teruja untuk membawakan layanan mesra kami ke Lumut, sebuah bandar pantai yang terkenal dengan kekayaan warisannya, agar tetamu kami dapat merasai pengalaman di Perak pada tahap yang tinggi,” kata Alexandra Murray, Naib Presiden Kawasan dan Ketua Asia Tenggara.
Hanya beberapa minit dari pantai putih dengan pemandangan Pulau Pangkor, pusat peranginan tersebut menggabungkan keseimbangan antara santaian dan pengembaraan. Dengan aktiviti-aktiviti seperti selam snorkel, menaiki bot pisang dan memancing, pantai persendirian pusat peranginan berkenaan menyediakan peluang kepada pengunjung untuk berehat dan bersantai.
Para tetamu juga boleh bersantai di kolam renang atau berehat di spa sementara anak-anak kecil mereka berseronok di kelab kanak-kanak dan taman air mini. Dengan padang golf 18-lubang hanya sejauh lima minit dari pusat peranginan tersebut, para peminat golf akan dapat menikmati permainan golf pada masa lapang.
“Kami berbesar hati dan teruja untuk mempersembahkan DoubleTree by Hilton Damai Laut Resort sebagai pilihan optimum untuk keluarga dan pelancong.
“Kami percaya kombinasi unik antara budaya dan keindahan alam semula jadi Perak, digandingkan dengan ruang kami yang selesa serta layanan yang mesra, tetamu bakal menghayati suasana ibarat di rumah di mana mereka boleh menjadi diri mereka sendiri,” ujar Sugumaran Ramachandran, Pengurus Besar, DoubleTree by Hilton Damai Laut Resort.
-NIAGATIMES