XPENG pilih Melaka sebagai hab pengeluaran EV pintar untuk ASEAN

EP Manufacturing Bhd (EPMB) memeterai kerjasama strategik dengan syarikat mobiliti pintar global, XPENG bagi menubuhkan operasi pengeluaran setempat kenderaan elektrik (EV) pintar di Melaka, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem kenderaan tenaga baharu (NEV) serantau.

Melalui kerjasama itu, XPENG yang terkenal dengan teknologi mobiliti dipacu kecerdasan buatan (AI) akan memanfaatkan kepakaran luas EPMB dalam pembuatan automotif tempatan, termasuk kapasiti pengeluaran yang terbukti serta kefahaman mendalam terhadap pasaran Malaysia dan ASEAN.

Pengeluaran tempatan berkenaan dijangka membolehkan penghasilan EV pintar berteknologi tinggi yang disesuaikan dengan keperluan pengguna serantau, di samping meningkatkan keupayaan tindak balas pasaran dan mengukuhkan daya saing XPENG di rantau ini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata kerjasama itu sejajar dengan visi kerajaan untuk membangunkan ekonomi hijau dan memperkukuh keupayaan pembuatan berteknologi tinggi negara.

Beliau berkata projek tersebut berpotensi memperkasa ekosistem industri NEV tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada tenaga kerja tempatan.

“Gabungan pengalaman EPMB dalam pembuatan automotif selama lebih empat dekad dengan kepakaran inovasi serta elektrifikasi XPENG akan membolehkan kami membekalkan EV pintar berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden XPENG, James Wu berkata penubuhan operasi pengeluaran di Malaysia merupakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan global syarikat itu dan mencerminkan komitmen jangka panjangnya terhadap pasaran ASEAN.

Menurut beliau, keupayaan pembuatan EPMB yang kukuh serta perkongsian visi yang seiring menjadikan syarikat itu rakan strategik yang ideal bagi menyokong pelaksanaan teknologi mobiliti pintar secara lebih meluas.

XPENG kini giat memperluaskan kehadiran global apabila penghantaran luar negaranya dari Januari hingga November 2025 mencecah 39,773 unit, meningkat 95 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dengan rangkaian jualan dan perkhidmatan meliputi 52 negara dan wilayah.

Projek pengeluaran di Malaysia itu dijangka melengkapkan operasi sedia ada XPENG di Eropah dan pasaran Asia Pasifik lain, sekali gus membentuk ekosistem bersepadu yang merangkumi pengeluaran, jualan, perkhidmatan pengecasan serta sokongan pengguna.

-NIAGATIMES

EP-Manufacturing-kredit-foto-L-CM.jpg