Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menjalin kerjasama bersama-sama Google sebagai inisiatif untuk membimbing golongan usahawan tempatan dalam menguasai perniagaan secara atas talian.
MEDAC dalam satu kenyataan berkata, kerjasama tersebut dicapai melalui pembelajaran daripada kursus-kursus mini melalui aplikasi Google Primer bertajuk ‘Berhubung bersama Pelanggan Menerusi Perniagaan Atas Talian’.
“Kursus ini bertujuan untuk mengasah kemahiran digital yang dapat membantu anda (usahawan) membawa perniagaan anda ke atas talian agar anda dapat kekal berhubung bersama pelanggan.
“Kepada yang berminat boleh dapatkan pelbagai tip untuk membina laman web, pengilangan, penghantaran produk, dan banyak lagi melalui pautan yang disediakan,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi MEDAC, baru-baru ini.
Antara pautan yang disediakan berdasarkan kursus tersebut adalah berkaitan mengoptimumkan laman web; langkah menghias laman web perniagaan dengan imej menarik dan beresolusi tinggi; kemas kini laman web sebagai sumber pengumpulan maklumat; dan mengurus perniagaan secara atas talian pada masa yang tidak menentu.
Untuk pautan secara terus, sila rujuk laman www.facebook.com/OfficialMEDACMalaysia/.