Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan Minggu Usahawan Negara (MUN) 2022 yang sedang berlangsung bermula 10 Jun sehingga 4 Julai 2022 menerusi pelaksanaan program-program serta aktiviti pembangunan keusahawanan di seluruh negara.
Sambutan di peringkat kebangsaan telah diadakan pada 24 hingga 27 Jun 2022 di Malaysia Grand Bazaar (MGB) Lalaport, Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.
Sambutan MUN 2022 dianjurkan selaras dengan sambutan Hari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (Micro, Small and Medium-sized Enterprises Day) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disambut pada 27 Jun setiap tahun di seluruh dunia.
Penganjuran MUN di peringkat kebangsaan setakat ini telah menerima lebih daripada 16,000 pengunjung. Di samping itu, sebanyak RM23.6 juta nilai jualan serta potensi pemadanan perniagaan dengan pasaraya-pasaraya besar tempatan telah dicapai.
Sambutan MUN 2022 yang bertemakan ‘Usahawan Penggerak Ekonomi Negara’ dilancarkan oleh Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar pada 27 Jun 2022 bertempat di MGB yang merupakan pusat beli-belah artisanal pertama di Kuala Lumpur di bawah UDA Holdings Berhad.
MGB berkeluasan 100,000 kaki persegi meliputi ruangan yang disusun teliti dengan sentuhan seni bina warisan yang menempatkan sehingga 100 jenama tempatan, sebagai penghormatan kepada kreativiti dan kesenian Malaysia.
Antara pengisian MUN di MGB termasuklah aktiviti pembudayaan keusahawanan dan perkongsian maklumat yang merangkumi seminar, bengkel, kaunter maklumat, pemadanan perniagaan, rerurai (booth) pameran dan jualan yang terdiri daripada usahawan-usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Antara kluster-kluster produk yang terlibat adalah makanan dan minuman, kecantikan dan spa, fesyen dan aksesori, serta kraf.
KUSKOP berhasrat MUN dapat diteruskan sebagai acara tahunan kementeriannya bagi meningkatkan kesedaran umum dan memupuk budaya keusahawanan dalam melahirkan lebih ramai keluarga usahawan.
Di samping itu, MUN adalah sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan masyarakat.
-NIAGATIMES