‘Selamat Hari Koperasi Antarabangsa’

Tanggal 4 Julai pada hari ini merupakan hari bersejarah buat Gerakan Koperasi di seluruh dunia yang menyambut Hari Koperasi Antarabangsa.

Sambutan pada setiap Sabtu minggu pertama bulan Julai ini telah diisytiharkan oleh International Co-operative Alliance (ICA), sebagai Hari Koperasi Peringkat Antarabangsa dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Koperasi Antarabangsa buat seluruh rakyat dan anggota koperasi di Malaysia serta di seluruh seluruh dunia.

“Menyedari kepentingan bersama untuk bertindak segera memerangi perubahan iklim ekonomi yang masih suram, saya berharap dengan tema ‘Co-operative For Climate Action’ dapat menyatukan seluruh masyarakat koperasi.

“Saya amat yakin gerakan koperasi di Malaysia mampu untuk membuat perubahan terhadap iklim ekonomi dalam negara dengan keanggotaan seramai 6.09 juta dan mempunyai 14,625 buah koperasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Wan Junaidi, kerajaan melalui MEDAC dan agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan menyelaraskan tindakan untuk mewujudkan kesedaran menerusi pendidikan dan inovasi teknologi terkini.

“Saya berharap koperasi di dalam negara menjadikannya satu wadah perjuangan untuk bersatu meningkat dan membangunkan sosio ekonomi secara bersama dengan mengamalkan prinsip-prinsip dan amalan berkoperasi bagi mencapai kemakmuran bersama.

“Selaras dengan tema Hari Koperasi Antarabangsa tahun 2020, saya menyeru gerakan koperasi bersama-sama menyahut cabaran untuk membangunkan ekonomi tanpa melupakan perlindungan terhadap persekitaran dengan meningkatkan penggunaan teknologi hijau,” ujarnya.

Wan-Junaidi-MEDAC-Foto-NiagaTimes.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.