SERAI GROUP BINA EMPAYAR F&B TERSENDIRI

Industri makanan dan minuman (F&B) dianggap sebagai satu cabang keusahawanan paling mencuri perhatian ramai usahawan yang mahu memulakan perniagaan. Ia mencabar kerana sangat kompetitif. Namun, ‘alah bisa tegal biasa’ bagi Serai Group yang telah berjaya menambat selera para pelanggannya dari semua lapisan masyarakat selama bertahun-tahun menjalankan operasi. Perkembangan syarikat ini melalui penubuhan lima buah restoran di cawangan berbeza jelas menunjukkan ia sesuatu yang boleh dibanggakan. Dalam temu bual baru-baru ini, figura di sebalik kejayaan Serai Group, Rina Abdullah dan menantunya, Najib Abdul Hamid, sempat berkongsi detik kebangkitan serta perancangan masa depan perniagaan mereka.

Pada awalnya, Rina Abdullah cukup berketerampilan dengan tugas sebagai pramugari di Malaysia Airlines sebelum dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi memberi tumpuan kepada keluarganya. Hidup berkeluarga dengan keadaan berpindah-randah sudah menjadi kebiasaan bagi Rina dan keluarganya. Sehinggalah akhirnya pada satu ketika di mana anak sulungnya, Qistina Taff, bakal memulakan persekolahan, dia nekad untuk menetap di satu tempat sahaja. Kami memutuskan untuk berpindah dari Johor ke Shah Alam,” katanya. Di ibu negeri ini, maka bermulalah babak keusahawanan F&B yang menceritakan segala-galanya.

Cetusan idea perniagaan

“Kami sering makan di restoran ala Thai. Anak perempuan saya sering bertanya kepada saya. Mama, kenapa tidak buka restoran sendiri? Nanti, boleh kita makan dengan percuma,” katanya sambil mengimbau. Ketika itulah terdetik di hati Rina untuk berani memulakan langkah. Pada tahun 1990, lahirlah sebuah restoran yang dinamakan sebagai Serai Thai. “Pada masa itu, tidak banyak restoran berkonsepkan Thai yang didatangkan dengan pelbagai varian. Alhamdulillah. Restoran pertama kami diterima baik oleh penduduk di Shah Alam, “jelas Rina tersenyum. Serai Thai bertahan untuk tempoh masa yang panjang. Selepas beberapa dekad, ia tetap menjadi lokasi restoran pilihan yang menarik pelanggan dari segenap lapisan masyarakat. “Kini sudah masuk generasi ketiga bagi seorang ibu yang membawa anak perempuan ke dalam perniagaan. Boleh dilihat sekarang anak perempuan itu pula yang membawa anak perempuannya,” katanya ketawa.

Najib Abdul Hamid kemudiannya hadir di dalam keluarga ini setelah mengikat hubungan yang sah dengan Qistina sebagai suami isteri. Sebelum terlibat dalam perniagaan keluarga mertuanya, jejaka ini terlebih dahulu memperoleh kelayakan dalam bidang gastronomi. Setelah tamat pengajian dalam Pengurusan Hospitaliti dan Seni Kuliner dari Le Cordon Bleu di Adelaide, Australia, Najib menjadikan cef sebagai kerjaya. “Saya tinggal di Australia selama 11 tahun dan saya telah bekerja di beberapa hotel dan restoran di sana.” Kerja keras Najib akhirnya melayakkan dia dilantik sebagai ketua cef. “Bukan mudah menjadi orang Asia yang mengetuai lapangan dapur profesional. Saya lalui tempoh setahun untuk mendapat penghormatan dari yang lain, “katanya. Atas dasar itulah pengalamannya menjadi aset yang bernilai terhadap perkembangan perniagaan Serai Group.

Empayar restoran berkembang

Pada tahun 2010, keputusan untuk mengembangkan perniagaan telah dibuat secara bersama. “Daripada menukar nama itu kepada beberapa pilihan nama yang lain, kami memutuskan untuk mengekalkan identiti nama ‘Serai’ itu kerana ia merupakan jenama milik Malaysia yang diiktiraf. Kami hanya perlu menjenamakannya ke tahap yang berbeza, “jelas Najib. Serai Group kemudiannya telah telah membuka lima buah restoran Serai di pusat beli-belah terkemuka di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Serai Group juga telah mengasaskan Jibby & Co, sebuah restoran berkaca dengan rekaan menawan yang terletak di luar Empire Shopping Gallery di Subang Jaya lengkap dengan khidmat penyediaan makanan bercitarasa tinggi dalam kalangan penggemar makanan di Malaysia. Ianya hasil cetusan Najib. Impian memperkenalkan restoran dengan konsep suasana ‘Melbourne-New York’ sentiasa berada di fikirannya sejak hari pertama pulang ke tanah air. “Saya dari dahulu teruja untuk mengadakan konsep sebegitu untuk tempat makan. Itulah kelebihan saya kerana saya belajar dan boleh praktikkan dari pengalaman berharga sewaktu bekerja di restoran dan hotel di Australia,” kata Najib.

Namun, ia sebenarnya bukan mudah seperti disangka. Jibby & Co hanya direalisasikan selepas Serai Group telah bertapak dan diurus dengan baik. “Setelah Serai Group stabil, barulah kami datangkan dengan Jibby & Co. Jika ada yang tertanya-tanya, Jibby sebenarnya adalah gelaran nama saya sewaktu di Australia,” kata Najib. Berikutan sambutan menggalakkan ke atas Jibby & Co, dua lagi restoran ‘Jibby’ telah ditubuhkan di mana setiap satunya mempunyai identiti yang unik. Jibby East menyediakan menu gabungan masakan, manakala Jibby Chow pula menerapkan interpretasi masakan Cina pada menu-menunya.

Sajian menu eksklusif

Apabila menikmati juadah di Serai, ikan kukus yang dilimpahi dengan sos limau segar adalah menu yang wajib dicuba. Sajian eksklusif ini sebenarnya diilhamkan mengikut resipi Rina. Nasi kerabu, daging paha bebiri, pavlova dan teh ais Serai adalah pilihan yang bagus juga. “Sementara itu di Jibby & Co, pemilihan pasta yang pelbagai serta rusuk Thai antara yang tidak boleh dilepaskan. Jibby East terkenal dengan telur panggang ‘dukkah’ dengan ‘chorizo Turki’. Di Jibby Chow pula, rusuk bebiri Mongolia dan ‘mantou’ adalah menu yang mesti dirasa,” syor Najib.

Walaupun ada ramai pihak yang mungkin beranggapan bahawa kerja dengan ahli keluarga kebiasannya mendatangkan masalah, keluarga ini nyata tidak melatah dan tetap positif. “Kami mungkin dilihat sebagai keluarga, tetapi ketika bekerja kami melakukannya secara profesional,” kata Najib. Ia sememangnya jelas terbukti apabila setiap daripada ahli keluarga ini mempunyai kepakaran dalam bidang mereka sendiri yang jika digabungkan kebolehan masing-masing berpeluang meningkatkan lagi perniagaan dalam industri F&B. Bahkan, Rina dan Najib sendiri turut memainkan peranan mereka dalam aspek pengurusan.

Kelebihan keluarga urus perniagaan

Ketelitian terhadap perincian tidak hanya diaplikasikan terhadap menu yang mereka sediakan tetapi juga kepada imej dan persekitaran restoran. Misalnya, Qistina sendiri turut mengambil bahagian dalam merencana hiasan dalaman restoran mereka dengan memberikan identiti eksklusif masing-masing. Manakala Atiqah, anak ketiga Rina, bertanggungjawab terhadap pemasaran media sosial jenama mereka sebagai elemen penting untuk kekal relevan dalam pasaran kini. Semua ambil peranan, jelas ia pakej yang lengkap! Rina percaya bahawa ia adalah sebahagian daripada ketentuan Yang Maha Esa. Untuk berkembang dengan jenama bersama-sama keluarga sebagai rakan sekerja, itu merupakan pencapaian besar baginya.

Bukan itu sahaja, sudah menjadi kebiasaan bagi keluarga ini memberi layanan baik dan mesra kepada kesemua 400 pekerja dengan menganggap mereka seperti keluarga sendiri. Ketika pada zaman ini banyak syarikat berdepan kesukaran mencari pekerja yang setia, ia nyata tidak berlaku di Serai Thai. Kebanyakan cef dan pekerja yang sedia ada, teguh berkhidmat sejak awal penubuhan syarikat mereka lagi. “Saya tidak tahu bagaimana dia melakukannya,” kata Najib sambil menambah bahawa ibu mertuanya adalah seorang ‘superwoman’.

Rina dianggap memiliki tokoh keibuan dalam syarikat itu. “Kami sangat terbuka. Kami mendengar idea daripada pekerja kami,” katanya. “Sudah tentu, berdua lebih baik daripada satu,” tambah Najib. Jejaka Sabah ini juga memegang pada prinsip kerja berpasukan sebagai kunci kejayaan mereka. Minat yang mendalam dalam F&B dan perniagaan berjaya membuat mereka terus bertahan. Malah, respons positif daripada pelanggan mereka juga terus menjadi pendorong dan memacu mereka untuk mencapai tahap yang lebih baik.

Najib menganggap ibu mertuanya, Rina, sebagai ‘superwoman’ di sebalik kejayaan Serai Group bersama Jibby & Co.

Terus melebarkan sayap

Serai Group merancang untuk membuka empat buah restoran lagi pada tahun ini. Malah, mereka turut menjalin satu kerjasama dengan syarikat terdahulu Rina, Malaysia Airlines sebagai rakan kongsi makanan dan minuman. Melalui itu, ahli Enrich mendapat keistimewaan memperoleh satu mata untuk setiap RM1 yang dibelanjakan di rangkaian restoran Serai Group.

Merka juga sedang merancang untuk mendirikan restoran pertama di London. “Kami tidak hanya mahu menjadi pilihan tempatan sahaja. Justeru, kami mahu menubuhkan perniagaan di arena antarabangsa,” kata Najib.

Rina turut tidak lokek memberi nasihat kepada golongan muda yang bercita-cita untuk cemerlang dalam industri. “Banyakkan bersabar. Kamu tidak boleh harapkan meraih pulangan lumayan sebaik sahaja kamu terlibat dalam perniagaan. Jadikan engalaman dan asas yang teguh sebagai faktor terpenting.”

Najib pula menggalakkan golongan yang bercita-cita untuk berada di dalam industri ini supaya mengembara ke segenap pelosok dunia dan timba pengalaman sebanyak mungkin. Dia juga menegaskan bahawa sikap ‘lompat kerja’ merupakan kesilapan besar kebanyakan orang. “Anda mesti bekerja di tempat yang sama sekurang-kurangnya dua tahun untuk belajar sesuatu yang bernilai. Hanya kerana anda cef yang baik, tidak bermakna anda boleh membuka sebuah restoran. Tidak semua orang boleh menjadi pemimpin. Anda perlu tahu segala-galanya tentang perniagaan,” tambahnya.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.