Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digesa untuk segera menjalankan proses inovasi melibatkan produk perniagaan masing-masing bagi mengukuhkan jenama mereka untuk kekal relevan di pasaran, lebih-lebih lagi perlu bersaing dengan barangan antarabangsa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Beli Barangan Malaysia peringkat negeri Kedah yang berlangsung di Tasik Darul Aman Jitra baru-baru ini, Saifuddin berkata aspek yang perlu diberi perhatian oleh usahawan PKS ialah kuantiti barangan yang sentiasa mencukupi serta kualiti pembungkusan produk, lebih-lebih lagi yang berada di pasar raya berjenama antarabangsa.
“Pasar raya berjenama global seperti Aeon dan Tesco ini mempunyai reputasi antarabangsa yang amat tinggi dan polisi sendiri. Masing-masing sangat teliti dengan produk yang mahu memasuki pasar raya mereka. Sebab itu beberapa parameter perlu dipenuhi oleh setiap PKS.
“PKS juga perlu memastikan bekalan produk mereka mencukupi. Kalau ada permintaan 10,000 tetapi penghasilan mereka terbatas, itu juga akan menyebabkan produk mereka sukar memasuki pasar raya besar yang mempunyai banyak cawangan di seluruh negara,” katanya.