Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad telah memperkenalkan sebuah portal e-dagang, Mysinbad yang akan berperanan sebagai platform pemudahcara kepada usahawan koperasi untuk memasarkan produk masing-masing secara lebih meluas dan berkesan.
Portal yang bernaung di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tersebut diyakini mampu memberi manfaat kepada lebih 14,000 koperasi di seluruh negara dengan fokus kategori perniagaan koperasi yang terlibat ialah perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, pertanian dan industri asas tani, serta perladangan dan pembangunan hartanah.
Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad, Suli Koid Chin Lin berkata, kejayaan penubuhan Mysinbad telah dicetuskan oleh SKM yang berhasrat membangunkan sebuah stor digital koperasi kepada anggota-anggotanya.
“Portal ini, dari koperasi untuk koperasi. Ia percuma khusus bagi koperasi dalam memasarkan produk mereka sekali gus dapat memanfaatkan lebih 6.5 juta anggota koperasi selain pengguna lain mendapatkan barangan keperluan tanpa melalui orang tengah.
“Kewujudan kemudahan ini sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup sejajar dengan hasrat kerajaan terutama dalam membantu golongan B40,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran portal e-dagang Mysinbad pada Countdown Hala Tuju Koperasi Selepas 100 Tahun yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof di Tamarind Square Cyberjaya, baru-baru ini.