Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggesa syarikat-syarikat tempatan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk lebih agresif menyertai pemasaran ke luar negara pada 2020 dengan memanfaatkan 557 program dan aktiviti eksport yang telah disenaraikan untuk tahun hadapan.
Pengerusi MATRADE, Tan Sri Dr. Halim Mohammad berkata, pihaknya sentiasa terbuka memberi sokongan dan risikan kepada PKS dalam menjalankan misi eksport menerusi rangkaian global 46 pejabat MATRADE di seluruh dunia.
“Selepas 26 tahun beroperasi, MATRADE telah berkembang menjadi organisasi promosi perdagangan yang dikenali dan dinamik.
“Banyak program promosi perdagangan kami telah memberi pendedahan yang baik kepada PKS di seluruh dunia,” katanya sewaktu berucap pada sambutan Hari Eksport Nasional 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, semalam.
Tambah Halim, MATRADE juga menyokong pembangunan PKS dengan menyediakan pelbagai program dan bantuan kewangan termasuk Geran Pembangunan Pasaran, Dana Perkhidmatan Eksport dan e-Dagang.