60 syarikat tempatan lakar kejayaan di Anugerah Made For The World 2021

Sebanyak 60 syarikat dari Malaysia telah diiktiraf sebagai pemenang di Anugerah Antarabangsa Made For The World 2021.

Majlis penganugerahan tahunan kali kedua anjuran portal dwibahasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), NiagaTimes.com dengan kerjasama media The Malaysia Voice itu diadakan bagi meraikan wira-wira ekonomi daripada kalangan pemain industri di rantau Asia yang kekal komited menguruskan perniagaan dalam memastikan ekonomi negara masing-masing kekal berdaya tahan meskipun dilanda pandemik Covid-19.

Pelaksanaan program seperti ini amat penting dalam memperbaiki serta mempertingkatkan prestasi usahawan tempatan sekaligus secara tidak langsung membantu dalam pembangunan ekonomi negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Suriani Ahmad.

Berucap mewakili Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar, beliau berkata, semua pihak juga secara tidak langsung akan menyedari bahawa peranan para usahawan amat penting dalam jatuh bangunnya ekonomi sesebuah negara.

“Oleh yang demikian, pelaksanaan program ini boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang amat besar dalam menyuntik semangat keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

“Malah, kami di MEDAC juga akan memastikan segala usaha dan inisiatif Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, termasuklah matlamat untuk melahirkan ‘bangsa usahawan’ terus dilaksanakan,” ujarnya.

Sementara itu, Penasihat NiagaTimes, Emir Abdul Jalal berkata, anugerah bertemakan ‘Aspirations & Achievements of Economic Heroes, Source of Inspiration for All’ itu menyaksikan sebanyak 10 kategori anugerah seperti eksport, e-dagang, firma profesional, makanan dan minuman, inovasi teknologi dan lain-lain telah disampaikan pada majlis tersebut.

“Bagi pengiktirafan tertinggi, International Category Award (Asia’s Trusted Brand of The Year in Dermatology and Laser Treatment), penerima anugerah tersebut ialah syarikat Klinik Pakar Kulit Ko Sdn Bhd.

“Syarikat ini diiktiraf berdasarkan khidmat dan sumbangan yang mengagumkan selama 24 tahun di dalam industri. Klinik Pakar Kulit Ko bukan sahaja mempunyai 35 cawangan di Malaysia, malah turut melakar nama di Singapura dan Indonesia.

“Seorang lagi penerima anugerah tertinggi bagi Malaysia SME Category, Outstanding Aviation Training Organization Of The Year ialah Skyvax Sdn Bhd. Syarikat ini adalah sebuah organisasi latihan penerbangan yang berkembang pesat dengan cemerlang.

“Nilai jualan syarikat ini pada tahun 2020 mencecah RM11 juta. Selain unggul beroperasi di Malaysia dan Republik Czech, perkhidmatan syarikat ini turut digunakan di 27 negara Kesatuan Eropah (EU),” jelasnya.

Penerima-penerima anugerah dari Malaysia yang lain termasuklah MTG Capital Sdn Bhd (Best Financial Technology Service Provider Of The Year – Malaysia SME Category); Worldex Medic Supplies Sdn Bhd (Emerging Gloves Supplier Of The Year – Malaysia SME Category); BubbleBee Sdn Bhd (Lifestyle Beverage Brand Of The Year – Malaysia SME Category) dan Asal Jasa Sdn Bhd (Leading River Sand Miner & Exporter Of The Year – Malaysia SME Category).

Selain itu, Prestige Media Studios Sdn Bhd (Most Innovative Photography Company Of The Year – Malaysia SME Category); Krista Education Sdn Bhd (Most Preferred Childcare & Kindergarten Operator For Workplace Centres – Malaysia SME Category), Magnovas Holding Sdn Bhd (Promising Confectionary Products Manufacturer Of The Year – Malaysia SME Category) dan Altecflex Sdn Bhd (Outstanding Innovative Technology Solutions Provider Of The Year – Malaysia SME Category)  antara yang juga diiktiraf.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Datuk R. Rajendran dan Pengerusi CSR Malaysia, Lee Seng Chee.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.