Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Corp Malaysia telah melancarkan Pameran Tahunan PKS 2021 (SMIDEX 2021), semalam.
Penganjuran SMIDEX 2021 yang kini berlangsung sehingga 23 Disember ini mensasarkan 10,000 pengunjung maya dan RM50 juta potensi jualan menerusi pelbagai program dan aktiviti dalam bentuk norma yang baharu iaitu secara dalam talian melalui portal MyAssist MSME.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah menetapkan dua fokus utama sebagai pemangkin pemulihan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) iaitu usahawan yang terlibat harus memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.
“Pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik merupakan perkara lazim di dalam ekonomi hari ini, disebabkan oleh keperluan dan peluang yang semakin meningkat.
“Ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0.
“Kedua, pembangunan jangka panjang PMKS harus menerapkan prinsip-prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi perniagaan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran SMIDEX 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar berkata, penganjuran SMIDEX tahun ini merupakan salah satu inisiatif agensi di bawah kementeriannya untuk membantu PMKS mendapat peluang pasaran.
“Bertemakan ‘PMKS: Bangkit Kembali’, ia sesuai benar dengan matlamat pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.
“Setelah lebih dua dekad, SMIDEX telah mengukuhkan jenamanya sebagai antara platform pameran terbaik bertaraf tempatan dan antarabangsa yang bermatlamat untuk membantu PMKS Malaysia menonjolkan keupayaan dan ketersediaan produk, perkhidmatan, teknologi dan inovasi mereka dalam menembusi pasaran serantau dan global,” ujarnya.
-NIAGATIMES