Nextgreen Global Berhad (Nextgreen) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B di Green Technology Park (GTP) Pekan, Pahang.
Kilang Fasa 1B akan melibatkan pembinaan tiga buah bangunan untuk mengilang tisu, makanan haiwan dan baja.
Dari segi pengeluaran, kilang tisu ini dijangka akan menghasilkan 10,000 tan metrik, manakala dua buah kilang yang lain akan mengeluarkan 30,000 tan metrik makanan haiwan dan 30,000 tan metrik baja organik.
Jumlah pelaburan baharu bagi pembinaan ketiga-tiga kilang tersebut adalah sebanyak RM162 juta iaitu RM80 juta bagi kilang tisu, RM50 juta melibatkan kilang makanan haiwan dan RM32 juta untuk kilang baja.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri berharap dengan adanya pelaburan dari Nextgreen ini dapat menarik lebih banyak pelabur ke arah projek berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus serta selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) bagi pembangunan negeri Pahang yang mampan.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan membantu dalam memudahcara urusan pelaburan bagi mencapai kejayaan di negeri Pahang.
“Melalui pelaburan ini, Kerajaan negeri berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi individu dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat berkata, ketiga-tiga pelaburan baharu di Fasa 1B, GTP ini menunjukkan keyakinan pelabur untuk membuat pelaburan baharu di Wilayah ECER amnya dan Pahang khususnya.
“GTP yang memberi penekanan kepada teknologi hijau ini adalah selari dengan Sustainable Development Goals (SDG), dan ini telah menjadi nilai tambah yang meningkatkan daya tarikan GTP kepada pelabur-pelabur berpotensi.
“ECERDC, MIDA dan kerajaan negeri akan memudahcara urusan pelabur-pelabur ini agar projek mereka dapat direalisasikan bagi memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan, termasuk memudahcara permohonan untuk mendapatkan Pakej Insentif ECER bagi menjalankan projek mereka,” ujarnya.
-NIAGATIMES