Misi perdagangan ke Turkiye melibatkan 10 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia baru-baru ini telah berjaya menjana jumlah nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion, di sebalik kesan pandemik dan cabaran global.
Misi ke Istanbul dan Sakarya, yang diadakan pada 26 Februari sehingga 6 Mac 2023 telah diketuai oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MIICCI).
SME Corp berkata, sebanyak 97 siri perbincangan perniagaan mengenai penyumberluaran produk dan perkhidmatan telah diadakan yang melibatkan 72 syarikat Turki dan 10 syarikat Malaysia dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, penjagaan kesihatan peribadi, minyak dan gas serta sistem solar.
“Inisiatif ini membuktikan usaha berterusan Malaysia untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dengan mewujudkan peluang akses pasaran kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran Turkiye.
“Minat mendalam yang ditunjukkan oleh syarikat Turkiye semasa misi perdagangan tersebut menjadi pemangkin utama dalam menyokong pengantarabangsaan PKS kedua-dua negara.
“Delegasi Malaysia juga diberikan pendedahan mengenai peraturan dan undang-undang import Turkiye, keperluan perniagaan serta ciri-ciri pasaran tempatan melalui siri seminar, lawatan tapak, sesi pemadanan perniagaan dan peluang rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihak yang terlibat dari Turkiye adalah Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB), Turkiye Halal Certification Body (GIMDES), Independent Industrialist and Businessmen’s Association (MUSIAD), Dewan Perdagangan GEBZE, Dewan Perdagangan KOCAELI dan Dewan Perdagangan SAKARYA.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, misi selama sembilan hari tersebut adalah sebahagian daripada usaha pihaknya untuk meningkatkan keupayaan praeksport PKS serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti perniagaan Malaysia menerokai pasaran global.
“Kami juga menawarkan beberapa inisiatif lain untuk menyokong pengantarabangsaan PKS melalui Program Pengukuhan Eksport PKS yang telah dibuka untuk permohonan mulai 15 Mac 2023.
“Program ini menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global dengan mewujudkan rangka kerja berasaskan pasaran melalui penyediaan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan untuk pelbagai aktiviti berkaitan eksport,” jelasnya.
-NIAGATIMES