Pelan Strategik KUSKOP 2023 disasar bakal manfaatkan lebih 500,000 usahawan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan kesemua program yang dirancang di bawah Pelan Strategik 2023 bakal memanfaatkan 543,080 individu usahawan dan bakal usahawan di negara ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak lima teras strategik, 24 strategi dan 185 program telah dirangka merangkumi penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.

“Manakala, sebanyak enam KPI telah ditetapkan dan perlu dicapai di bawah pelaksanaan Pelan Strategik ini.

“Saya yakin, pendekatan yang dirangka di bawah hala tuju strategik ini akan menzahirkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju, proaktif, kompetitif dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Amanat KUSKOP Tahun 2023 di Menara Bank Rakyat Kuala Lumpur, semalam.

Tambah Ewon, sasaran bagi Pelan Strategik tersebut bagaimanapun diharap boleh direalisasikan melalui suntikan dana tambahan oleh Kementerian Kewangan di mana KUSKOP telah memohon peruntukan pembangunan sebanyak RM666 juta bagi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari depan.

“Mudah-mudahan apa yang kita minta, iaitu ‘triple 6’ ini akan dapat kita peroleh. Sebenarnya, permintaan ini bukanlah daripada kementerian kami semata-mata, tetapi ia juga adalah permintaan daripada PMKS kita. Jadi kalau ini dapat diberi, ia dapat membantu banyak PMKS dan juga individu,” ujarnya.

-NIAGATIMES

kredit-foto-KUSKOP.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.