Lanjutan daripada pengumuman oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berhubung program pembiayaan baharu untuk syarikat teknologi peringkat permulaan, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) baru-baru ini mengumumkan pelancaran program pembiayaan berjumlah RM100 juta yang dinamakan Kemudahan Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga Teknologi (TSFRF) beserta maklumat terperinci berhubung program itu termasuk rangka program, syarat-syarat kelayakan serta proses permohonan yang berkaitan.
MDV dalam satu kenyataan berkata, program TSFRF ini menyasarkan pembiayaan bagi 40 sehingga 60 syarikat teknologi peringkat permulaan dan akan dibuka untuk permohonan bermula 18 Mei 2020 sehingga 31 Mei 2020 bagi kumpulan pemohon yang pertama. Permohonan seterusnya akan dibuka sehingga keseluruhan dana berjumlah RM100 juta ini telah dimanfaatkan sepenuhnya.
“Program pembiayaan TSFRF ini adalah dibuka kepada semua syarikat teknologi peringkat permulaan tempatan yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaan.
“Untuk layak memohon, syarikat perlu memenuhi salah satu kriteria berikut iaitu syarikat dimiliki secara majoriti oleh warganegara Malaysia; majoriti pekerja adalah warganegara Malaysia atau majoriti pendapatan dijana di Malaysia,” jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, pihaknya telah menyahut seruan pihak kerajaan kepada sektor swasta, terutamanya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam merangsang ekonomi melalui langkah-langkah yang menyokong keperluan operasi dan kewangan perniagaan melalui program pembiayaan TSFRF.
“Program pembiayaan TSFRF ini bertujuan untuk menangani masalah kekangan kecairan yang dihadapi oleh syarikat teknologi peringkat permulaan dalam situasi semasa ini dengan penawaran kemudahan modal kerja bagi mengurangkan isu-isu aliran tunai pada masa hadapan.
“Ia juga bertujuan untuk memendekkan tempoh penerimaan dana, melalui proses permohonan yang lebih ringkas; proses ketekunan wajar dan penilaian kredit yang lebih cepat; keperluan dokumen yang tidak rumit; serta proses pembayaran yang mudah dan cepat.
“Selain itu, para pemohon juga tidak perlu membayar apa-apa yuran atau kos tambahan yang lain bagi program pembiayaan ini,” katanya.
Untuk maklumat lanjut berhubung TSFRF, sila layari laman web MDV di www.mdv.com.my.