Platform pembiayaan rakan setara (P2P) microLEAP terus memperkukuh pelaksanaan skim SARANA seiring pertumbuhan pesat peranan pembiayaan digital dalam menyokong perolehan kerajaan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS).
Prestasi kukuh microLEAP sepanjang 2025 mencerminkan peningkatan keyakinan pasaran terhadap pembiayaan P2P yang dikawal selia. Sepanjang tahun itu, platform berkenaan telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM295 juta melibatkan 341 Nota Pelaburan, menjadikan jumlah kumulatif sejak penubuhannya mencecah RM545 juta.
Dalam tempoh sama, kadar gagal bayar kekal rendah pada 0.30 peratus, iaitu paras terendah pernah direkodkan, selain pertumbuhan pembiayaan melebihi 135 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan microLEAP sebagai antara penanda aras kepada kematangan ekosistem pembiayaan P2P tempatan, selaras dengan penekanan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terhadap peranan platform alternatif dalam menyokong perniagaan domestik.
Rekod prestasi itu turut menunjukkan bagaimana disiplin penilaian kredit, pemantauan berterusan dan struktur pembiayaan yang tersusun mampu menyokong matlamat dasar ekonomi negara.
Dalam konteks itu, microLEAP terus memperluas kesedaran terhadap SARANA, skim pembiayaan yang direka khusus bagi membantu kontraktor tempatan dan PKS yang melaksanakan projek Kerajaan Persekutuan melalui sistem e-Perolehan.
Walaupun kontrak kerajaan menawarkan jaminan kerja, isu aliran tunai semasa fasa pelaksanaan kekal menjadi cabaran utama, khususnya ketika mobilisasi projek, perolehan bahan dan pembayaran kepada subkontraktor.
Berbeza dengan kaedah tradisional seperti pinjaman bank dan faktoring yang sering melibatkan proses lebih rumit serta kos lebih tinggi, SARANA mengintegrasikan pembiayaan P2P yang diluluskan secara rasmi ke dalam ekosistem perolehan kerajaan. Pendekatan ini menyediakan akses modal kerja yang lebih pantas, digital dan sejajar dengan keperluan projek.
Menerusi SARANA, kontraktor layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM1.5 juta bagi tempoh maksimum 12 bulan dengan kadar keuntungan bermula 1.25 peratus sebulan. Kelayakan pembiayaan disandarkan kepada kontrak kerajaan yang disahkan serta dokumentasi piawai, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata cabaran sebenar kontraktor bermula selepas kontrak dianugerahkan apabila keperluan aliran tunai menjadi kritikal. Beliau berkata SARANA diwujudkan bagi menyediakan penyelesaian pembiayaan yang praktikal dan responsif terhadap realiti pelaksanaan projek kerajaan.
-NIAGATIMES






















































