I-Berhad lancar AI World, Presint bandar AI pertama di Malaysia

I-Berhad, pemaju utama di sebalik pembangunan i-City, hari ini melancarkan ‘AI World’, presint bandar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama di Malaysia, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha negara menjadi hab AI dan robotik utama di Asia Tenggara.

Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM5 bilion, AI World direka sebagai presint gaya hidup generasi baharu, menggabungkan teknologi AI ke dalam pelbagai aspek kehidupan bandar — daripada kediaman, kesejahteraan, mobiliti sehingga ke sektor perhotelan dan pendidikan.

Tumpuan utama pembangunan ini ialah Pusat Pengalaman AI World, yang bakal dibuka pada Disember 2025. Ia akan menjadi pameran robotik humanoid terbesar di Malaysia, hasil kerjasama dengan AgiBot, syarikat robotik humanoid terbesar dunia. Sebanyak 100 robot humanoid akan dipamerkan, dengan 70 daripadanya berfungsi secara aktif di tapak.

Lebih daripada sekadar tarikan pelancongan, pusat ini juga berperanan sebagai pusat pendidikan interaktif dalam menyokong visi kerajaan memperkenalkan literasi AI di sekolah rendah menjelang 2027.

Presint ini turut memperkenalkan pendekatan baharu dalam penjagaan kesihatan menerusi pembangunan menara kediaman dan kesejahteraan AI. Ia merangkumi pemantauan kesihatan berasaskan AI, sistem pemulihan robotik dan penggunaan ‘carebots’ untuk membantu warga emas — satu langkah strategik memandangkan lebih 15% rakyat Malaysia dijangka berusia lebih 60 tahun menjelang 2030.

Menurut Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong, AI World merupakan sebahagian daripada transformasi syarikat daripada pemaju hartanah kepada pengendali bandar pintar berasaskan AI.

“Kami melihat AI dan robotik sebagai pemacu pertumbuhan baharu berimpak tinggi, dan AI World sebagai platform pendidikan serta inovasi masa depan,” katanya.

Sebagai sebahagian strategi ini, I-Berhad turut memperkenalkan konsep Robotics-as-a-Service (RaaS) dalam portfolio pelaburan hartanahnya bernilai RM1 bilion. Melalui model ini, langganan perkhidmatan robotik seperti AI concierge dan ‘maintenance bots’ akan dijadikan sumber pendapatan berulang, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran hartanah tradisional.

Penganalisis industri melihat pelancaran AI World sebagai langkah tepat, seiring jangkaan pelaburan AI dan pusat data bernilai AS$40 bilion yang bakal diterima Malaysia menjelang 2030. Pertumbuhan robotik perubatan juga dijangka meningkat pesat sejajar dengan keperluan penjagaan kesihatan warga emas.

-NIAGATIMES

AI-World.jpg