Seruan memboikot produk berasaskan sawit susulan isu jerebu rentas sempadan bukan langkah penyelesaian yang berkesan, sebaliknya berpotensi menjejaskan mata pencarian lebih 242,000 keluarga pekebun kecil sawit persendirian di negara ini.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pendekatan menyalahkan keseluruhan industri tanpa mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran hanya akan memberi kesan kepada pengusaha, pekerja dan pekebun kecil yang mematuhi peraturan.
Beliau berkata isu jerebu rentas sempadan memerlukan tindakan menyeluruh termasuk pengesanan punca kebakaran, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama serantau, bukannya kempen boikot terhadap sesuatu komoditi.
Mengulas gesaan selebriti tempatan Sharifah Sakinah supaya orang ramai memboikot produk sawit yang tular di media sosial, beliau berkata kebimbangan masyarakat terhadap alam sekitar perlu dihargai, namun penyampaian maklumat hendaklah berasaskan fakta dan bukti.
“Mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka atau menyebabkan pencemaran perlu bertanggungjawab serta dikenakan tindakan undang-undang tanpa pengecualian.
“Bagaimanapun, tindakan terhadap pesalah tidak seharusnya diperluas sehingga menghukum keseluruhan industri yang turut menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pembakaran terbuka dilarang di Malaysia, termasuk perbuatan melakukan, membenarkan atau menyebabkan pembakaran di mana-mana premis dan tanah.
MPOB memaklumkan lebih 242,000 keluarga pekebun kecil persendirian mengusahakan tanaman sawit di kawasan melebihi 866,000 hektar di seluruh negara.
Sebarang kemerosotan permintaan terhadap produk sawit boleh memberi kesan berantai kepada pendapatan pekebun kecil, operasi kilang, aktiviti pemprosesan serta peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.
Industri itu turut mencatatkan nilai eksport RM112 bilion pada 2025, meningkat 2.9 peratus berbanding RM109 bilion pada tahun sebelumnya.
Dalam aspek kelestarian, MPOB berkata Malaysia telah memperkukuh kawal selia industri menerusi pelaksanaan mandatori Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), termasuk piawaian MSPO 2.0 yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.
Piawaian berkenaan merangkumi pematuhan undang-undang, pengurusan alam sekitar, kebajikan pekerja dan kebolehkesanan rantaian bekalan.
Malah, pengiktirafan Kesatuan Eropah pada September 2025 terhadap MSPO sebagai piawaian kemampanan yang diyakini dan inklusif turut memperkukuh usaha Malaysia memastikan pengeluaran sawit dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Sehubungan itu, MPOB menggesa golongan berpengaruh termasuk selebriti dan pempengaruh media sosial memainkan peranan menyampaikan maklumat tepat serta menggalakkan penyelesaian yang menyasarkan punca sebenar pencemaran.
MPOB menegaskan bahawa perlindungan alam sekitar dan pembangunan industri sawit mampan perlu bergerak seiring menerusi penguatkuasaan, pemantauan serta penambahbaikan berterusan.
-NIAGATIMES




















































