KUSKOP bina empat premis Tamu Desa bernilai RM790,550 di Penampang

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah membina baharu dan menaik taraf empat premis Tamu Desa di kawasan Penampang dengan nilai keseluruhan sebanyak RM790,550 pada tahun lalu.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, projek-projek tersebut melibatkan pembinaan baharu Tamu Desa Kampung Inobong, Kampung Babagon, Kampung Togudon serta penaiktarafan Tamu Desa Kampung Mahandoi.

“Pelaksanaan projek-projek ini dibuat menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui KUSKOP sebagai usaha merancakkan lagi pembangunan ekonomi luar bandar serta memperkasa usahawan desa.

“Dengan adanya premis ini, usahawan-usahawan tamu dapat menjalankan perniagaan dalam keadaan lebih selesa dan teratur manakala pengunjung juga lebih selesa, tidak lagi terdedah kepada panas dan hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Baharu Tamu Desa Kg. Togudon, salah satu daripada projek yang telah siap dibina pada tahun lalu, di sini, hari ini.

Premis Tamu Desa itu akan menjadi lokasi utama bagi aktiviti tamu mingguan penduduk kampung yang diadakan setiap hari Sabtu, namun Ewon turut menggalakkan supaya hasil tani dijual setiap hari bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya menyeru para usahawan tani menggunakan premis ini untuk menjual hasil pertanian mereka setiap hari, bukan hanya semasa hari tamu. Ini dapat meningkatkan pendapatan mereka secara konsisten,” katanya.

Pada majlis yang sama, Ewon turut menyampaikan sijil pendaftaran kepada Koperasi Desa Togudon Berhad yang baru ditubuhkan sebagai inisiatif memperkukuh struktur ekonomi kampung secara kolektif dan mampan.

“Mudah-mudahan penubuhan koperasi ini dapat memacu aktiviti komuniti kampung khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan. Kita mahu koperasi menjadi pemangkin pembangunan ekonomi kampung,” katanya.

Katanya lagi, secara keseluruhan KUSKOP telah membina sebanyak 98 premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak pada tahun lalu, dan pembinaan premis baharu akan diteruskan tahun ini di kedua-dua negeri berkenaan.

-NIAGATIMES

Perasmian-Tamu-Desa-Togudon-3.jpeg