Luno pacu peranan Malaysia sebagai hab inovasi kewangan serantau

Luno, bursa aset digital (DAX) yang dikawal selia di Malaysia, terus mengukuhkan dan menekankan komitmennya dalam membentuk ekosistem aset digital yang semakin matang melalui penganjuran Luno Institutional Digital Asset Conference (LIDAC).

Persidangan sulung dan berprestij ini, yang julung kali diadakan khusus untuk institusi kewangan di Malaysia, mengetengahkan peranan strategik aset digital dalam usaha mempelbagaikan portfolio institusi.

Inisiatif ini sekali gus mengangkat kepimpinan Malaysia dalam bidang inovasi kewangan melalui sokongan proaktif terhadap aset digital yang dikawal selia.

Lebih daripada 300 inovator, pengurus dana institusi, penasihat kewangan, pengawal selia dan perintis Web3 dari seluruh rantau telah berhimpun untuk membincangkan amalan terbaik dalam aspek pematuhan, keselamatan dan pengurusan risiko.

Persidangan ini turut menumpukan kepada pemetaan momentum global terhadap penerimaan institusi, di samping meneroka peluang unik serta kelebihan tempatan dalam bidang aset digital, seperti kepimpinan Malaysia dalam memajukan inovasi teknologi kewangan Islam di peringkat global.

“Dengan mata wang digital, kewangan ternyahpusat dan teknologi blockchain yang memacu inovasi, aset digital kini merupakan kelas aset berkembang yang mesti diterima untuk kemampanan jangka panjang.

“LIDAC 2025 menyediakan platform untuk memperdalam pemahaman, bertukar-tukar idea, dan meneroka bagaimana institusi boleh mengintegrasikan aset digital secara bertanggungjawab ke dalam penawaran mereka,” kata Gobind Singh Deo, Menteri Digital, dalam ucapan pembukaannya.

LIDAC 2025 diadakan selepas setahun yang produktif bagi Luno Malaysia, dengan pelancaran Luno Bundles pada akhir 2024. Produk ini menawarkan pulangan yang mencerminkan prestasi keseluruhan pasaran kripto dengan merangkumi antara 5 hingga 10 mata wang kripto berprestasi tertinggi berdasarkan modal pasaran.

Tahun 2025 juga menyaksikan pelancaran Algorand (ALGO), NEAR Protocol, Hedera (HBAR) dan The Graph (GRT), menjadikan jumlah keseluruhan penawaran di bursa meningkat kepada 22 aset digital.

-NIAGATIMES

Luno-Institutional-Digital-Asset-Conferenc.jpg