Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Indonesia Quality and Productivity Management Association (IQPMA) meneroka ruang kerjasama baharu bagi memperluas perkongsian kepakaran serta amalan terbaik dalam bidang kualiti dan produktiviti, sekali gus menyokong usaha meningkatkan daya saing organisasi di rantau ASEAN.
Usaha itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat delegasi IQPMA ke Ibu Pejabat MPC, Kuala Lumpur, baru-baru ini, yang turut melibatkan PT Wahana Kendali Mutu (WKM) Indonesia sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan inisiatif berkaitan peningkatan produktiviti.
Pertemuan berkenaan turut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam penganjuran International Quality and Productivity Convention (IQPC), selain pertukaran pengetahuan, pengalaman dan kepakaran antara kedua-dua negara.
Kerjasama lebih erat itu dilihat mampu mewujudkan ruang penanda aras bagi organisasi berprestasi tinggi, di samping membolehkan amalan terbaik yang telah terbukti berkesan dikongsi dan diterapkan secara lebih meluas dalam kalangan organisasi serta industri di Malaysia dan Indonesia.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah berkata kerjasama strategik dengan IQPMA dan PT WKM Indonesia berupaya membuka lebih banyak peluang untuk kedua-dua pihak membangunkan inisiatif yang bersesuaian dengan keperluan organisasi serta landskap industri semasa.
“MPC dan IQPMA mempunyai kekuatan dan pengalaman yang boleh saling melengkapi. Perkongsian ilmu, kepakaran serta amalan terbaik dapat dimanfaatkan untuk membangunkan pendekatan yang lebih praktikal dan memberi nilai tambah kepada organisasi serta industri di kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata hubungan rentas negara dalam bidang produktiviti dan kualiti juga penting bagi memastikan usaha meningkatkan daya saing tidak terhad kepada peringkat nasional, sebaliknya dapat diperluas melalui jaringan kerjasama serantau.
“Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk memperkukuh agenda kualiti dan produktiviti secara berterusan menerusi pendekatan yang praktikal, berimpak dan relevan dengan keperluan semasa.
“Pada masa sama, perkongsian pengalaman antara Malaysia dan Indonesia dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh daya saing organisasi dalam menghadapi perubahan serta cabaran ekonomi serantau,” katanya.
Delegasi IQPMA diketuai Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa IQPMA merangkap Pengarah PT WKM Indonesia, Damayanti.
MPC dalam pada itu akan terus memperluas jaringan strategik dengan organisasi antarabangsa bagi memperkasa perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman dalam usaha membangunkan ekosistem produktiviti yang lebih kukuh.
Inisiatif berkenaan turut dijangka menyumbang kepada peningkatan keupayaan organisasi dan industri, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam agenda produktiviti dan kualiti di peringkat ASEAN.
-NIAGATIMES




















































