Acara MY Token pertama, yang dijadualkan pada 14 hingga 15 September ini, bakal mentakrifkan semula sektor blok rantai dan Web3 di Malaysia.
Diangkat sebagai acara berkaitan blok rantai terulung di Asia dan kawasan sekitar, pertemuan penting ini bakal menghimpunkan tokoh-tokoh perintis global, termasuk usahawan, pelabur, pencipta dan pakar industri, dan turut dihadiri wakil media antarabangsa, menjadikannya perhimpunan agung yang mempelopori dan mencorakkan masa depan inovasi blok rantai.
“MY Token dirancang sebagai acara untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan menggiatkan pelancongan di Malaysia dengan menarik jenama-jenama Web3 utama dan mencipta laluan untuk bakat-bakat Web2 beralih ke dunia Web3. Tujuan platform kami adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global, dengan menjalin kerjasama yang bakal menentukan masa depan,” kata Sangeet Singh, Pengasas Bersama MY Token.
Sebagai acara blok rantai dan Web3 sulung di Malaysia yang diiktiraf oleh Tourism Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MY Token membuktikan tahap penerimaan dan sokongan lebih tinggi terhadap industri blok rantai di negara ini.
MY Token akan menghimpunkan peserta industri penting seperti Horizen Labs, Forbes Web3, Polygon Chain, OX Media, Mocaverse, Real Protocol, Roam, PuffPaw, Chain Party, TechFlow, TechHub, dan banyak lagi. Jenama-jenama berpengaruh ini akan menarik peserta dari seluruh dunia termasuk rantau penting seperti China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Vietnam, Indonesia, Amerika Syarikat (AS), dan Eropah.
Di samping itu, MY Token telah melantik sepasukan Duta Web3 daripada pasaran-pasaran penting di serata Asia, termasuk Malaysia, Hong Kong, Singapura, Filipina, India, Korea Selatan, dan Taiwan.
-NIAGATIMES