Sejumlah RM12 juta telah diperuntukkan di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) tahun ini bagi meneruskan komitmen SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dalam menggalakkan agenda keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera.
Majlis Peluncuran Program TUBE 11 telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang, Sabah baru-baru ini.
Program berbentuk latihan asas keusahawanan yang menyasarkan untuk melatih 500 bakal usahawan tahun ini akan bermula di Sabah dan seterusnya dilaksanakan di empat zon lain iaitu Zon Utara, Pantai Timur, Tengah/Selatan dan Sarawak.
Program TUBE menyediakan Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000 kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan. Tahun ini, Program TUBE 11 telah ditambah baik dengan modul latihan yang lebih dinamik dan selari dengan perkembangan terkini ekosistem keusahawanan menerusi topik seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Peserta TUBE yang telah menamatkan latihan dan memulakan perniagaan akan sentiasa dipantau perkembangan mereka dalam usaha memastikan perniagaan khususnya yang melebihi dua tahun mempunyai potensi untuk berkembang daripada perniagaan bersaiz mikro kepada bersaiz kecil.
Kaunselor perniagaan yang terdiri daripada pegawai SME Corp. Malaysia sentiasa bersedia memberikan sokongan kepada para peserta TUBE 11 dan alumni TUBE.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, ia telah melatih seramai 8,543 belia dengan mewujudkan 15,872
peluang pekerjaan dan mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM194 juta.
“KUSKOP akan mencadangkan agar program TUBE ini diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dengan penambahbaikan yang lebih berfokus untuk meningkatkan keberkesanan program dan meluaskan capaiannya kepada lebih ramai belia Bumiputera di seluruh negara,” jelas Ewon dalam satu kenyataan.
-NIAGATIMES