Buat pertama kalinya di Malaysia, peminat kari dan penggemar makanan dari seluruh negara akan berhimpun dalam satu acara epik, RASA Layan Curry Fiesta, yang akan berlangsung dari 5 hingga 8 September 2024 di Parking B, Setia City Convention Centre. Acara ini dianjurkan oleh portal majalah RASA dengan kerjasama HAVOC, sempena sambutan Hari Malaysia.
RASA Layan Curry Fiesta bakal menjadi medan pertemuan bagi lebih 100,000 pengunjung, menyaksikan lebih 300 hidangan makanan viral dari seluruh negara, termasuk nasi kandar, nasi briyani, nasi Arab, dan pelbagai hidangan kari lain yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Acara ini dijangka menjadi himpunan makanan viral terbesar di Malaysia, menampilkan pengusaha makanan popular seperti Hameediyah, Nasi Kandar Express, dan Mathaa’m, serta pelbagai lagi usahawan makanan yang terkenal di media sosial.
Majlis pelancaran rasmi akan berlangsung pada 7 September 2024, jam 4:30 petang, yang akan disempurnakan oleh YB Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Anak Dagang. Majlis ini turut memberikan penghargaan khas kepada 200 penghantar makanan (riders) sebagai tanda pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam industri makanan negara.
Selain daripada pesta makanan, pengunjung juga akan dihiburkan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang empat hari fiesta ini. Antaranya termasuk pertandingan Teh Tarik Kaw Kaw, pertandingan roti canai terbang bersama Chef Matt, pameran kereta berhias Hello Kitty, dan banyak lagi.
Turut memeriahkan suasana adalah kehadiran selebriti dan pempengaruh terkenal tanah air seperti Ojen Aiwahh, Wafi, Akiddos, Lia Maisara, dan Asfan Shah, yang akan mengadakan persembahan, sesi ramah mesra, dan pelbagai aktiviti bersama pengunjung.
-NIAGATIMES