Penganjuran ShowTech MARDI 2025 telah mendapat sambutan luar biasa selepas lima hari berlangsung berjaya menarik lebih 400,000 pengunjung, dengan anggaran jualan tunai yang dicatatkan mencecah RM1.048 juta.
Pihak penganjur turut berjaya menjalankan rundingan 22 teknologi di bawah padanan perniagaan dengan nilai potensi berjumlah RM21 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, kejayaan penganjuran program ini telah menyerlahkan peranan dan tanggungjawab penyelidik MARDI untuk terus giat menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam memacu pembangunan dan pemodenan sektor agromakanan.
“Para penyelidik dan pereka cipta (inventor), saya kira umpama jambatan yang menghubungkan aplikasi sains dan teknologi kepada masyarakat melalui penghasilan inovasi dan dapatan penyelidikan yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti hidup sekaligus menyumbang kepada transformasi sosioekonomi negara.
“Justeru, penganjuran ShowTech MARDI 2025 yang bertemakan “Peneraju Inovasi Agroteknologi sangat bertepatan dengan hala tuju Kementerian untuk memperkasakan penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam sektor agromakanan bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup program ShowTech MARDI 2025 di MAEPS, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi MARDI Corporation Sdn Bhd, Norhalim Sirome.
ShowTech MARDI 2025 mempamerkan lapan kluster pameran iaitu tanaman bernilai tinggi, tanaman industri, padi dan beras, teknologi makanan, pertanian pintar, teknologi ternakan, pemindahan teknologi dan Agro pelancongan.
Laman-laman juga turut disediakan seperti laman sayur, laman herba, laman kelulut, laman ternakan dan yang paling menarik adalah plot sayur-sayuran dimana pengunjung berpeluang memetik sendiri sayur-sayuran yang ada.
Selain pameran teknologi, laman-laman dan plot yang ada, turut diadakan jualan produk pertanian dan agromakanan oleh usahawan bimbingan MARDI yang terpilih.
-NIAGATIMES