Agroz lancar program robotik pintar bersama UBTECH tingkat kecekapan ladang vertikal

Agroz Inc. kini melancarkan inisiatif Agroz Robotics hasil kerjasama strategik dengan UBTECH Robotics bagi memperkukuh penggunaan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi pertanian vertikalnya.

Agroz Inc., yang tersenarai di Nasdaq dan merupakan peneraju teknologi pertanian persekitaran terkawal (CEA) berkata, kolaborasi berkenaan menandakan satu fasa penting dalam usaha syarikat memperluas ekosistem digital Agroz OS, iaitu sistem operasi ladang proprietari yang menyepadukan proses pertanian jitu secara automatik.

Menurut Agroz, program Agroz Robotics memperlihatkan penggabungan kejuruteraan robotik, analitik data serta pengurusan tanaman masa nyata bagi mewujudkan rangka kerja pertanian pintar yang lebih cekap dan bersepadu sepenuhnya.

Sebagai langkah permulaan, robot humanoid industri UBTECH, Walker S, akan menjadi peranti robotik pertama yang digunakan di kemudahan CEA milik Agroz.

Robot itu bakal berfungsi sebagai platform perkakasan Agroz OS dan ditugaskan untuk menyokong automasi tugas kritikal seperti penyemaian, pemantauan tanaman, penuaian serta pengoptimuman proses pengeluaran.

Agroz menjelaskan bahawa penggunaan teknologi tersebut dijangka meningkatkan produktiviti ladang secara signifikan, mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja manusia serta menjamin mutu hasil tanaman yang lebih stabil dan konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutif Agroz, Gerard Lim, berkata pelancaran Agroz Robotics mencerminkan komitmen syarikat untuk mendorong pembangunan pertanian mampan melalui integrasi AI dan robotik.

“Kerjasama dengan UBTECH merupakan satu pencapaian utama dalam usaha kami mentransformasikan industri pertanian.

“Penyepaduan robot humanoid dengan kecerdasan data membolehkan kami mengendalikan ladang pintar yang mampu mengoptimumkan operasi secara kendiri, sekali gus menyokong pengeluaran makanan yang lebih selamat dan mampan,” katanya.

Lim turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan kerajaan Malaysia dalam memacu inovasi teknologi tinggi, yang menurutnya memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keterjaminan makanan dan daya tahan ekonomi negara.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Robotik Perindustrian UBTECH, Leon Li, berkata kerjasama itu membuka ruang kepada aplikasi lebih luas bagi teknologi robotik dan AI syarikatnya di rantau ini.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Agroz untuk mengembangkan penyelesaian robotik kami dalam industri pertanian. Inisiatif ini menyumbang kepada pembangunan sistem makanan mampan di Asia dan global,” katanya.

Agroz memaklumkan bahawa integrasi menyeluruh sistem automasi UBTECH akan membolehkan syarikat menawarkan penyelesaian robotik modular untuk ladang vertikal, rumah hijau pintar dan kemudahan pertanian hibrid seluruh Asia Tenggara.

Langkah ini juga selaras dengan visi Malaysia untuk memperkukuh sistem makanan mampan serta memastikan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Dengan perancangan pengembangan ke seluruh Asia Tenggara, Agroz optimis bahawa penggunaan teknologi pertanian pintar dan automasi akan menjadi pemangkin kepada perubahan global ke arah sistem pengeluaran makanan yang lebih efektif, bersih dan tahan iklim.

-NIAGATIMES

Agroz-Robotics-Launch-1.jpeg