Tayangan perdana ‘UPanda Cinema’ serta pelancaran Musim Tayangan Istimewa Program Bertemakan China berlangsung meriah di Kuala Lumpur, menghimpunkan lebih 100 wakil media, industri kreatif, budaya dan belia dari Malaysia serta China.
Program berkenaan merupakan kerjasama Jabatan Penerangan Majlis Negara China, Pentadbiran Negara Radio dan Televisyen China dan Kementerian Komunikasi Malaysia, manakala penganjurannya diselaraskan Pusat Komunikasi Antara Benua China (CICC), Astro Malaysia dan Mango Media Sdn Bhd.
Timbalan Ketua Pengarah Biro Promosi Luar Negara, Pejabat Penerangan Majlis Negara China, Li Zhuang, berkata Musim Tayangan Program China ‘UPanda Time’ dalam bahasa Malaysia bakal memperkenalkan kandungan yang lebih dekat dengan budaya serta nilai masyarakat China kepada penonton tempatan.
Beliau berkata, usaha itu diharap dapat memperkukuh hubungan rakyat kedua-dua negara, selain merancakkan pertukaran budaya dan pembelajaran bersama yang telah lama terjalin antara Malaysia dan China.
Li turut menegaskan bahawa kerjasama audiovisual merangkumi penerbitan bersama, pertukaran kandungan dan latihan bakat mampu membuka ruang lebih luas dalam usaha meningkatkan persefahaman rentas budaya.
Pertukaran belia pula, katanya, merupakan pemacu penting ke arah memperkukuh hubungan dua hala menjelang fasa baharu menuju ’50 Tahun Keemasan’ seterusnya.
Hadir sama, Menteri Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Zheng Xuefang, yang menyifatkan pelancaran UPanda Cinema sebagai pelaksanaan konkrit kesepakatan antara pemimpin kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama filem, televisyen dan budaya.
“Kepelbagaian kandungan yang dibawakan mampu membantu masyarakat Malaysia memahami sejarah, warisan dan perjalanan pembangunan China dengan lebih dekat, sekali gus mengukuhkan hubungan rakyat dan memacu persahabatan China-Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata hubungan budaya Malaysia-China yang sekian lama terjalin terus menawarkan peluang baharu dalam pembangunan industri kandungan tempatan.
Menurutnya, kehadiran UPanda Cinema membuka ruang lebih luas kepada kandungan hiburan China dalam pasaran Malaysia, selain menyokong aspirasi industri yang kini telah menarik lebih RM1 bilion pelaburan, merangkumi lebih 160 projek serta mewujudkan lebih 16,000 pekerjaan, dengan kesan pengganda ekonomi dianggarkan RM3.5 bilion.
Pada majlis pelancaran itu, wakil Biro Promosi Luar Pejabat Penerangan Majlis Negara China, Kedutaan China di Malaysia, Kementerian Komunikasi Malaysia, Tourism Malaysia, FINAS, Astro dan CICC turut merasmikan Musim Tayangan Istimewa Program Bertemakan China.
Musim tayangan berkenaan akan disiarkan di beberapa saluran Astro sempena Tahun Baharu Cina 2026, merangkumi lebih 100 jam kandungan termasuk drama, dokumentari dan animasi seperti Flourished Peony, Romance in the Alley, Master Class, Rediscovering Home Truths dan MooBoo Cops.
Dalam majlis sama, CICC memeterai dua projek kerjasama utama dengan Mango Media Sdn Bhd dan Juxta Films, meliputi Penciptaan Bersama Drama Pendek Bertema China–Malaysia serta Perjanjian Pertukaran dan Kerjasama Budaya Filem dan Televisyen China–Malaysia. Turut diumumkan ialah projek terbitan bersama baharu berkonsepkan program light-variety bertajuk ‘Melody Bridge’.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tari Malaysia yang menggunakan elemen kraf tradisi Wau Bulan, membentuk siluet panda gergasi sebagai simbolik persahabatan lama antara kedua-dua negara.
UPanda Cinema, yang ditubuhkan pada 2021, kini menjadi platform audiovisual antarabangsa dengan kerjasama rangkaian media di lebih 20 negara dan capaian lebih 130 juta penonton global, serta aktif mempromosikan pertukaran kandungan, kolaborasi kreatif dan aktiviti budaya merentas benua.
-NIAGATIMES






















































