OLEH: LIN ZHENG
Ketika Malaysia bersiap sedia untuk Belanjawan 2026, Ninja Van Malaysia menyambut baik usaha berterusan kerajaan dalam memajukan pendigitalan, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan memperkukuh kapasiti eksport. Belanjawan 2025 telah memperkenalkan langkah-langkah penting melalui peluasan geran digitalisasi, pembiayaan teknologi, inisiatif membina daya tahan rantaian bekalan, serta usaha membantu PKS menembusi pasaran antarabangsa.
Namun, meskipun terdapat kemajuan tersebut, kos logistik kekal menjadi cabaran besar bagi PKS. Di bawah kerangka cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang disemak semula dan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, perkhidmatan logistik termasuk pergudangan, pemenuhan pesanan (fulfilment) dan penghantaran jarak akhir telah dimasukkan dalam skop cukai sebanyak 6%.
Ini bermakna PKS berdepan kos berganda pada pelbagai peringkat pergerakan barangan. Bagi perniagaan kecil yang sudah pun beroperasi dengan margin keuntungan tipis, kos berlapis ini diterjemahkan kepada perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, mengurangkan kemampuan pengirim, dan akhirnya membawa kepada harga yang lebih mahal untuk pengguna.
Mengapa meluaskan pengecualian SST penting
Penghantaran dan pemenuhan pasanan menyumbang sebahagian besar daripada kos operasi PKS, seringkali melebihi 20% daripada perbelanjaan e-dagang. Kami menggesa kerajaan untuk meneroka peluasan pengecualian SST di seluruh rantaian nilai logistik, yang dapat membantu meredakan tekanan kos kepada PKS dan pengguna. Langkah ini akan membolehkan perniagaan untuk:
- Mengurangkan kos operasi PKS: Bagi seorang penjual dalam talian kecil yang memproses 500 pesanan sebulan, penghapusan caj berkaitan SST boleh membebaskan ribuan ringgit setiap tahun untuk dilaburkan semula dalam alat digital atau pengembangan perniagaan.
- Menyokong kemampuan pengguna: Pengurangan kos logistik dapat membantu menstabilkan yuran penghantaran dan memastikan membeli-belah dalam talian kekal mampu milik bagi rakyat Malaysia pada waktu kos sara hidup meningkat.
- Meningkatkan penerimaan digital: Dengan penjimatan daripada pengurangan cukai, PKS lebih mudah melabur dalam sistem penjejakan bungkusan, perisian pemenuhan pesanan, dan pengurusan inventori semula, selaras dengan agenda pendigitalan Malaysia.
Suara industri turut menyuarakan kebimbangan yang sama. Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menekankan bahawa peningkatan kos logistik menjadi antara cabaran paling mendesak bagi PKS, khususnya dalam e-dagang, di mana caj penghantaran lebih tinggi secara langsung menghakis daya saing. Persatuan itu juga memberi amaran bahawa kenaikan ini akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna, seterusnya meningkatkan kos sara hidup. Mereka turut memberi amaran bahawa peluasan SST akan menolak kos lebih tinggi kepada PKS yang paling kurang mampu menyerapnya. Begitu juga, Persatuan PKS Malaysia menegaskan bahawa kerangka SST mewujudkan kesan ‘cukai ke atas cukai’ kerana ia tidak membenarkan kredit cukai input, sekali gus meningkatkan kos operasi merentasi sektor logistik, pembuatan, dan industri berorientasikan eksport yang lain.
Manfaat lebih luas merentasi industri
Kesan pengurangan kos logistik akan melangkaui PKS dan memberi manfaat kepada ekonomi yang lebih luas.
- Pengangkutan dan mobiliti: Kos logistik yang lebih rendah membolehkan pengendali mengurangkan perbelanjaan pengedaran dan mengoptimumkan kecekapan rangkaian, seterusnya mempercepatkan pergerakan barangan dengan lebih murah di seluruh negara.
- Peruncitan dan e-dagang: Pengurangan perbelanjaan penghantaran jarak akhir membantu perniagaan mengekalkan harga berdaya saing kepada pengguna, sambil menyokong penglibatan lebih ramai penjual kecil dalam ekonomi digital.
- Pembuatan: Pengeluar akan mendapat manfaat daripada pengurangan kos pergudangan dan rantaian bekalan, menjadikan Malaysia lokasi yang lebih menarik untuk pengeluaran serantau dan aktiviti eksport. Kecekapan kos ini boleh diterjemahkan kepada aliran masuk pelaburan yang lebih besar dan penciptaan peluang pekerjaan.
Membuka daya saing PKS dan pertumbuhan digital
PKS Malaysia menyumbang 39.5% kepada KDNK pada tahun 2024, menjadikan mereka tulang belakang penting ekonomi. Namun, seiring dengan pertumbuhan e-dagang, beban cukai perkhidmatan ke atas penghantaran bungkusan berisiko memperlahankan momentum serta mengehadkan daya saing mereka. Dengan mempertimbangkan pengecualian SST yang lebih luas untuk sektor logistik, kerajaan berpeluang memperkasakan PKS agar lebih berdaya saing, memastikan pengguna menikmati akses mampu milik kepada barangan dan perkhidmatan, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau. Ini adalah peluang tepat pada masanya untuk menjadikan logistik sebagai pemacu pertumbuhan dan bukannya penghalang.
Dalam jangka masa panjang, kami menggesa kerajaan untuk mengkaji semula keseluruhan kerangka cukai, termasuk meneroka kemungkinan peralihan semula kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Ini dapat membantu menyelesaikan beban ‘cukai ke atas cukai’ yang kini ditanggung oleh pemain logistik di bawah SST, sambil menjadikan rantaian bekalan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global. Namun, dalam jangka pendek, peluasan pengecualian SST di seluruh rantaian nilai logistik akan memberikan kelegaan yang lebih cepat kepada PKS dan pengguna.
Ninja Van Malaysia bersedia bekerjasama dengan kerajaan, persatuan industri, dan komuniti PKS untuk mencari penyelesaian praktikal yang memastikan logistik kekal sebagai pemacu kemampuan, kecekapan, dan pertumbuhan dalam masa depan digital Malaysia
- Lin Zheng merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia
-NIAGATIMES






















































