Bilionair teknologi, Elon Musk sekali lagi mencuri perhatian apabila mengumumkan pelancaran Grokipedia, sebuah platform pengetahuan berasaskan sumber terbuka yang dibangunkan syarikatnya, xAI.
Inisiatif itu dilaporkan oleh United Press International (UPI), baru-baru ini.
Menurut Musk, Grokipedia bakal menjadi pesaing utama kepada Wikipedia dengan menawarkan pengalaman berbeza kerana ia dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) melalui chatbot Grok.
Teknologi ini, jelasnya, bukan sahaja akan menyokong pembangunan platform tersebut, malah membantu xAI dalam memahami dunia serta alam semesta dengan lebih menyeluruh, lapor portal berita Mint.
Pengumuman mengenai projek berkenaan dibuat Musk menerusi beberapa hantaran di platform media sosial X.
Dalam salah satu hantaran tersebut, beliau menjemput masyarakat global untuk menyertai usaha membangunkan Grokipedia, yang digambarkannya sebagai repositori ilmu sumber terbuka yang lebih baik berbanding Wikipedia.
Musk juga menegaskan bahawa Grokipedia akan boleh diakses secara percuma tanpa had penggunaan. Tambahnya, kelebihan utama laman itu ialah keupayaan AI untuk mengesan dan membetulkan kesilapan secara automatik, sekali gus menjamin kandungan yang lebih tepat, berfakta dan berkualiti tinggi.
-NIAGATIMES






















































