Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Hari Terbuka sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya.
Acara ini akan diadakan serentak pada 2 Ogos 2025 di Ibu Pejabat MPOB di Bangi serta di tujuh lokasi iaitu di Stesen Penyelidikan MPOB di Kluang, Keratong, Bagan Datuk, Hulu Paka, Lahad Datu, Sessang dan Pejabat Wilayah Sabah di Kota Kinabalu.
Penganjuran Hari Terbuka bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kemajuan industri sawit, termasuk pencapaian dalam bidang penyelidikan, inovasi, perkhidmatan yang ditawarkan serta kejayaan MPOB sepanjang 25 tahun penubuhannya.
Hari Terbuka MPOB menyasarkan penyertaan semua lapisan masyarakat dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan, termasuk pameran inovasi MPOB, pemeriksaan kesihatan, pelbagai pertandingan dan cabutan bertuah.
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sempena Hari Terbuka MPOB, antaranya Sawit Run, MPOB Race, Treasure Hunt, Pertandingan Memasak, Pertandingan Mewarna dan Menghias Cupcake, serta Pertandingan Video Kreatif. MPOB juga akan melancarkan buku resipi bertajuk ‘Sawit Dalam Sajian: Legasi Rasa Malaysia’ yang menampilkan pelbagai hidangan berasaskan minyak sawit.
Kesemua aktiviti ini melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat sekali gus mencerminkan keterangkuman dan jalinan sinergi dalam memartabatkan industri sawit negara.
Tema Hari Terbuka MPOB ‘Sawit Untuk Semua’ menggambarkan ekosistem industri sawit yang inklusif, mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tema ini juga menekankan bahawa industri sawit adalah relevan untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia, latar belakang atau status sosial, sekaligus membuktikan bahawa manfaat sawit dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat Malaysia.
Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan Hari Terbuka MPOB dan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mpob.gov.my atau ikuti laman media sosial rasmi MPOB.
-NIAGATIMES






















































