Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2025 (PIPOC 2025), anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan berlangsung mulai 18 hingga 20 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dijangka menjadi platform perkongsian ilmu terbesar bagi industri sawit.
Dianjurkan setiap dua tahun, PIPOC 2025 menjangkakan lebih 100 penceramah, 200 pembentang poster, serta sekitar 2,000 delegasi dari dalam dan luar negara hadir berkongsi kepakaran, penemuan penyelidikan, inovasi teknologi, dan strategi mampan yang selari dengan landskap semasa industri.
Antara tokoh yang akan menyertai perbincangan dalam PIPOC 2025 ialah Dr. Ravigadevi Sambanthamurthi, mantan Pengarah Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak Baka MPOB, yang juga merupakan Felo PersatuanDiraja (Royal Society), United Kingdom.
Tokoh yang berpengalaman luas dalam industri sawit, Tan Sri Lee Oi Hian, Pengerusi Eksekutif Kuala Kumpur Kepong (KLK) Berhad, yang juga dikenali atas kepimpinan strategiknya dalam memacu pertumbuhan KLK di peringkat global akan menyampaikan ucaptama pada sesi Kuliah Henri Fauconnier.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata PIPOC 2025 melibatkan pendekatan yang lebih menyeluruh dengan penganjuran empat persidangan serentak bagi berkongsi maklumat terkini penyelidikan dan kemajuan industri sawit dengan penyertaan pakar dan penggiat industri dari seluruh dunia.
“PIPOC 2025 membawakan empat persidangan merangkumi Persidangan Pertanian, Bioteknologi dan Kemampanan; Pengilangan, Pemprosesan dan Penapisan Bio; Hiliran dan Penambahan Nilai; serta Ekonomi Global dan Pemasaran,” katanya dalam kenyataan.
Bertemakan “Mentransformasi Hari Ini Memperkasa Masa Hadapan Melalui Inovasi”, PIPOC 2025 mengangkat semangat kerjasama global dalam meneroka penyelesaian inovatif serta dasar mampan demi masa depan industri sawit yang berdaya saing.
Sempena PIPOC 2025, pameran berskala besar turut dianjurkan dan dibuka kepada pengunjung secara percuma. Pameran ini akan menghimpunkan lebih 400 pempamer dari dalam dan luar negara yang menampilkan pelbagai inovasi, produk baharu dan teknologi terkini merangkumi sektor huluan, hiliran, oleokimia, logistik, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi pertanian. Inisiatif ini bertujuan menyediakan platform strategik bagi memupuk rangkaian perniagaan, perkongsian ilmu dan kerjasama antara penggiat industri, pelabur, pembeli serta penyelidik.
MPOB juga menganjurkan kejohanan golf PIPOC 2025, serta mengatur lawatan teknikal ke ladang sawit dan pusat penyelidikan terpilih bagi memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kemajuan dan operasi industri sawit Malaysia.
Penyertaan peserta kini dibuka dengan kadar istimewa untuk, pemegang lesen MPOB, pembentang, serta pakejpendaftaran berkumpulan. PIPOC 2025 turut menawarkan pelbagai peluang penajaan, dan pelbagai pakej pengiklanan, sesuai untuk organisasi yang ingin merebut peluang promosi dan pengaruh jenama dalam komuniti industri global.
PIPOC 2025 bukan sekadar platform ilmiah bagi pakar, penyelidik dan penggiat industri, malahsebuah pentas strategik untuk memperkukuh daya saing, keterhubungan, dan kepimpinan Malaysia dalam landskap global industri sawit.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari https://pipoc.mpob.gov.my
-NIAGATIMES






















































