Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong mengumumkan pelaksanaan Inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) dengan peruntukan hampir RM3 bilion bagi memperkukuh pembangunan perusahaan milik wanita di seluruh negara.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi kementeriannya bagi memperkasa ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang diterajui golongan wanita.
Menurut beliau, inisiatif tersebut diperkenalkan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang diraikan setiap tahun pada 8 Mac.
“DEWI mencerminkan komitmen KUSKOP dalam memperkukuh peranan wanita dalam sektor keusahawanan serta melahirkan lebih ramai tokoh usahawan wanita yang berdaya saing dalam dunia perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Melalui inisiatif itu, pembiayaan sehingga RM3 juta akan ditawarkan kepada usahawan wanita yang layak dengan sasaran memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 usahawan di seluruh negara.
Empat agensi di bawah KUSKOP akan bertindak sebagai pelaksana utama program berkenaan iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Setiap agensi menyediakan skim pembiayaan tersendiri bagi memenuhi keperluan usahawan wanita pada pelbagai peringkat perniagaan.
TEKUN Nasional, misalnya, menawarkan Skim Temanita yang boleh dipohon secara fizikal di mana-mana cawangan agensi itu di seluruh negara.
SME Bank pula menyediakan program MySMELady yang boleh diakses secara dalam talian melalui laman web rasmi institusi tersebut.
Sementara itu, Bank Rakyat memperkenalkan pembiayaan BR-i BizLady yang dijangka dibuka untuk permohonan mulai April melalui platform dalam talian bank berkenaan.
Amanah Ikhtiar Malaysia pula menawarkan Skim Pembiayaan Ikhtiar yang boleh dipohon secara fizikal di cawangan agensi tersebut.
Usahawan wanita yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk pembiayaan di bawah inisiatif DEWI boleh menghubungi atau mengunjungi pejabat agensi berkaitan yang terdekat.
KUSKOP menyatakan inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang inklusif serta menyokong pembangunan sosioekonomi negara secara mampan.
-NIAGATIMES




















































