LGM rangka pelan strategik baharu, sasar lonjakan besar industri getah negara

Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang merangka Pelan Strategik MRB 2026-2030 bagi melonjakkan semula keunggulan industri getah negara yang menjadi antara nadi penting kepada ekonomi Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelan strategik lima tahun itu akan menjadi peta hala tuju baharu bagi memperkukuh daya saing, kelestarian dan kecekapan sektor getah nasional dalam menghadapi perubahan pasaran global.

“Fokus utama pelan ini ialah meningkatkan produktiviti, memperhebat penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperkukuh ekosistem sokongan industri, serta mempertingkat tadbir urus dan kecekapan operasi LGM,” katanya ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Getah Antarabangsa (IREC) 2025 di Hotel Westin, hari ini.

Menurut Johari, pelan strategik itu bukan hanya menumpu kepada peningkatan pengeluaran, tetapi turut menekankan aspek kelestarian, inovasi teknologi, dan kesejahteraan penoreh kecil agar kemajuan industri dapat dinikmati secara inklusif.

“Kita mahu industri getah Malaysia bukan sekadar berkembang, tetapi berkembang secara adil, lestari dan mampu menyaingi negara pengeluar lain di peringkat antarabangsa. Matlamat kita jelas, memastikan Malaysia terus menjadi peneraju dalam pengeluaran getah berkualiti tinggi,” katanya.

Tambah beliau, pelan berkenaan juga diselaraskan dengan Dasar Agri Komoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang menumpukan lima tonggak utama iaitu kelestarian, produktiviti, penciptaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman.

Dalam masa sama, LGM turut memperluas pelaksanaan inisiatif Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) ke Sabah dan Sarawak selepas mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB).

“MSNR menjadi platform penting bagi memastikan kebolehjejakan dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa seperti Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan berkuat kuasa hujung 2025,” ujarnya.

Johari berkata, langkah ini menandakan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini yang bersedia menghadapi keperluan perdagangan global berasaskan kelestarian dan ketelusan.

“Gabungan inovasi, dasar mampan dan tadbir urus berkesan ini akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula industri getah tempatan serta memberi limpahan ekonomi kepada lebih 300,000 rakyat yang bergantung kepada sektor ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada LGM atas peranan penting yang dimainkan selama satu abad dalam memacu penyelidikan dan pembangunan getah di Malaysia, sekali gus memastikan industri itu kekal relevan dalam era baharu ekonomi hijau.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-KPK.jpg