MPOB lancar enam teknologi baharu di TOT MPOB 2024

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan enam teknologi baharu dalam Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT MPOB) 2024 pada hari ini.

Enam teknologi baharu yang dilancarkan iaitu baka tanaman baharu Clonal Palm Series 4 (CPS); Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik Kawalan Radio; serta empat inovasi produk oleokimia, iaitu Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit, Cecair Pencuci Gred-industri, Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak, serta Minyak Transformer Berasaskan Sawit.

Pada majlis tersebut, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi melancarkan dua produk yang dikomersialkan – Walbac – Produk Racun Perosak Biologi Mesra Alam dan Formulasi Baja MPOB F2 dan F6.

MPOB juga memeterai lima perjanjian persefahaman teknologi, merangkumi pengkomersialan formulasi Baja MPOB, formulasi gris gred makanan berasaskan sawit, formulasi cecair bakteria endofitik kawalan Ganoderma, dan pemindahan teknologi kaedah penghasilan komposisi bod (papan) serat terarah (strand board).

Semasa Majlis Perasmian TOT MPOB 2024, Johari juga melancarkan ‘MPOB TECH’ sebagai cap dagangan berdaftar untuk memperkasa teknologi MPOB yang dikomersialkan. MPOB TECH merupakan penjenamaan MPOB yang membawa reputasi teknologi inovasi sebagai agensi penyelidikan dalam industri sawit.

Dalam satu kenyataan, Johari berkata, “Melalui Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030), Kerajaan, melalui MPOB turut memberi fokus penting kepada usaha untuk memperkasakan pekebun kecil sawit dan penglibatan usahawan tempatan termasuk daripada sektor Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS), bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri sawit.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan dan mempercepat proses pengkomersialan penemuan R&D yang dibangunkan oleh Institusi Penyelidikan Awam. Sebagai langkah untuk mendorong pengkomersialan hasil inovasi R&D Institusi Penyelidikan Awam, insentif cukai disediakan kepada syarikat pelabur dan syarikat yang mengkomersialkan hasil penemuan atau inovasi.

“Saya menggesa semua pihak termasuk penggiat industri dan para usahawan mengambil peluang insentif dan pembiayaan dana yang disediakan oleh agensi Kerajaan bagi pengkomersialan teknologi hasil penyelidikan tempatan,” katanya kepada media.

Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, Teknologi MPOB yang ditawarkan untuk pengkomersialan dilindungi hak harta intelek yang berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) meliputi paten, reka bentuk perindustrian, cap dagangan dan hak cipta. Ini untuk memastikan perlindungan dan jaminan kepada pencipta dan pihak yang mengkomersialkan teknologi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

-NIAGATIMES

kredit-foto-MPOB.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.