Persidangan Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024

Kementerian Digital (KD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara, hari ini melancarkan Persidangan Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang menekankan pengaruh Malaysia yang semakin meningkat sebagai kuasa digital di rantau ASEAN.

Bertumpukan kepada lima bidang transformasi utama – Data Trust, Next-Gen Computing, Computer Vision, Metaverse dan Digital Twins – Persidangan MDX 2024 menghimpunkan pemimpin-pemimpin industri untuk membentuk masa depan landskap digital Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju inovasi digital di Asia Tenggara.

Selaras dengan visi strategik Kementerian Digital, persidangan ini menekankan kepentingan penerapan teknologi canggih. Ia juga turut menonjolkan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan daya tahan ekonomi serta memperoleh kelebihan daya saing di peringkat global melalui transformasi digital yang inovatif.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari, dari 24 hingga 25 Oktober 2024, akan menawarkan agenda menarik, termasuk sesi ucaptama, perbincangan panel, pameran interaktif, serta peluang rangkaian yang bernilai tinggi.

Persidangan ini dijangka menarik lebih 3,000 peserta yang terdiri daripada pelabur antarabangsa, usahawan, syarikat permulaan, penggubal dasar dan profesional digital, yang ingin menyertai perbincangan untuk membentuk ekonomi digital Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Persidangan MDX 2024, sila layari https://mdec.my/mdx.

-NIAGATIMES

MDX2024.jpeg