Sukuk Kelestarian baru SME Bank terlebih langganan dengan permintaan melebihi RM1 bilion

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), sukacitanya mengumumkan kejayaan penerbitan Sukuk Kelestarian lima tahun baharunya, menerusi proses penetapan harga. Jumlah permintaan bagi terbitan Sukuk telah melebihi RM1 bilion, melepasi saiz awal yang iaitu sebanyak RM500 juta.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail berkata, banknya telah memilih untuk meningkatkan jumlah terbitan kepada RM1 bilion disebabkan permintaan yang menggalakkan daripada institusi kewangan tempatan dan asing, syarikat pengurusan dana, firma takaful atau insurans serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan.

“Pencapaian ini menunjukkan keyakinan tinggi pelabur dan komuniti kewangan terhadap keupayaan SME Bank untuk memacu pertumbuhan PKS, terutamanya dalam memastikan mereka dapat terus bertahan.

“Sukuk Kelestarian SME Bank telah berjaya ditetapkan pada kadar keuntungan yang sangat kompetitif iaitu sebanyak 4.05 peratus, di tengah-tengah persekitaran pasaran yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Sukuk Wakalah SME Bank telah diberikan penarafan AAA oleh Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) dan mencapai standard Emas, penarafan tertinggi Rangka Kerja Sukuk Kelestarian oleh MARC. Penarafan ini meningkatkan lagi kebolehpercayaan kredit SME Bank yang kukuh dan komitmen teguh terhadap amalan kelestarian.

Sementara itu, Ketua Perbendaharaan SME Bank, Mohd Nazri Abu Samah berkata, agensi penarafan MARC telah mengesahkan semula penarafan AAAIS/MARC-1IS dengan Tinjauan ‘Stabil’ pada Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) SME Bank sehingga RM3 bilion.

“Ini termasuk Program Kertas Komersial Islam (ICP) sehingga RM1 bilion dengan had agregat gabungan nilai nominal sehingga RM3 bilion. Penarafan ini mengukuhkan kedudukan kewangan SME Bank dan keupayaannya untuk melaksanakan komitmennya secara konsisten,” ujarnya.

Hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan secara eksklusif untuk membiayai projek yang sejajar dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Tumpuan strategik pada projek ESG ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan yang mampan tetapi juga membolehkan SME Bank untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan inovatif yang bersesuaian dengan keperluan unik perusahaan kecil dan sederhana.

-NIAGATIMES

Aria-Putera-SME-Bank.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.