Mahkamah Agung AS batal tarif global Trump

Mahkamah Agung Amerika Syarikat baru-baru ini memutuskan bahawa tindakan Presiden Donald Trump menggunakan kuasa darurat bagi melaksanakan tarif yang disifatkan sebagai ‘timbal balas’ ke atas hampir semua rakan dagang Amerika Syarikat (AS) adalah bercanggah dengan Perlembagaan negara itu.

Keputusan majoriti hakim berkenaan mengekalkan penghakiman mahkamah rendah yang sebelum ini menyimpulkan bahawa Trump telah melangkaui bidang kuasa eksekutif apabila mengenakan tarif menyeluruh tanpa kelulusan Kongres.

Mahkamah mendapati penggunaan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) untuk mengenakan duti import secara meluas, termasuk tarif berkaitan isu fentanyl terhadap barangan dari China, Kanada dan Mexico, tidak selari dengan peruntukan undang-undang tersebut.

Semasa prosiding hujahan lisan pada November tahun lalu, sebahagian besar daripada sembilan hakim dilaporkan mempersoalkan asas perundangan yang digunakan pentadbiran Trump, khususnya tindakan memintas Kongres dalam soal percukaian, yang secara jelas diperuntukkan kepada cabang legislatif.

Tarif berkenaan menjadi tunjang kepada agenda ‘America First’ yang diperjuangkan Trump, dengan alasan ia mampu merancakkan semula sektor pembuatan domestik, menambah peluang pekerjaan serta mengukuhkan kedudukan AS dalam rundingan perdagangan antarabangsa.

Pada awal tahun lalu, pentadbiran beliau memperkenalkan tarif terhadap import dari China, Kanada dan Mexico dengan mendakwa negara terbabit gagal mengekang penyeludupan fentanyl ke AS.

Beberapa bulan kemudian, Trump mengumumkan pelaksanaan tarif sejagat 10 peratus di bawah inisiatif digelar ‘Liberation Day’, selain mengenakan kadar tambahan ke atas negara yang mencatat lebihan dagangan besar dengan AS.

IEEPA sebelum ini digunakan untuk menangani ancaman luar biasa yang berpunca dari luar negara terhadap keselamatan atau ekonomi AS, namun tidak pernah dimanfaatkan oleh mana-mana presiden untuk mengenakan tarif secara menyeluruh.

Keputusan mahkamah itu dijangka memberi kesan besar terhadap hala tuju dasar perdagangan AS serta operasi syarikat tempatan dan antarabangsa yang sebelum ini memfailkan saman mencabar kesahihan langkah berkenaan.

-NIAGATIMES

Trump-tariffs-cancelled.jpg